MAH SIEW KEONG

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pengumuman tersebut akan dibuat pada minggu depan selepas kata putus dicapai oleh semua pihak yang berkaitan.

“Saya menerima makluman bahawa ramai pekebun kecil melahirkan kebimbangan mereka mengenai kos untuk mendapatkan perakuan MSPO, sekali gus menjadi punca mengapa bilangan mereka yang mempunyai sijil tersebut adalah kecil berbanding peladang-peladang besar.

“Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan untuk memberikan insentif kewang­an kepada pekebun kecil bagi menggalakkan mereka mendapatkan MSPO,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Syiling Peringatan sempena Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

MSPO yang diperkenalkan pada tahun lalu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran produk peladang-peladang kelapa sawit di negara ini.

Dalam pada itu, Siew Keong menyatakan bahawa sehingga Jun lalu, hanya 4.2 peratus kawasan perladangan sawit yang mempunyai perakuan MSPO.

“Jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit adalah sebanyak 5.76 juta hektar di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 6.7 peratus adalah ladang yang mempunyai perakuan MSPO, manakala 0.3 peratus melibatkan kumpulan pekebun kecil.

“Biarpun jumlah yang mempunyai MSPO masih kecil, kementerian optimis bahawa angka itu akan terus bertambah menjelang 2019, selain menjangkakan nilai eksport minyak sawit negara akan meningkat sehingga RM70 bilion berbanding RM67.5 bilion pada 2016,” ujarnya.