Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, industri sewajarnya memberi tumpuan kepada proses inovasi, kerjasama dan eksplorasi dalam usaha mengawal kos.

Katanya, kerjasama antara dua atau lebih syarikat dalam industri dapat menggalakkan perkongsian maklumat yang akhirnya memberi manfaat dari segi kawalan kos.

“Di Malaysia, Petronas telah berjaya mengurangkan kos sebanyak RM5 bilion apabila mengetuai kerjasama 23 syarikat dalam negara hanya dengan berkongsi maklumat, sumber dan standard yang sama.

“Petronas juga membelanjakan hampir AS$800 juta (RM3.5 bilion) setiap tahun bagi proses eksplorasi dan pelaburan dalam teknologi utama yang dapat menghasilkan sumber tenaga masa hadapan,” katanya dalam sesi dialog yang diadakan sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Kali Ke-19 di sini hari ini.

Barisan panel lain terdiri daripada Pengarah Urusan Enquest PLC Malaysia, Bob Davenport; Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (Kufpec), Shaikh Nawaf S. Al-Sabah dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan Presiden Exploration & Production TOTAL, Arnaud Breuillac.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, walaupun ramai pihak merasakan industri O&G semakin terhimpit disebabkan harga minyak global yang rendah, namun perkara berkenaan juga boleh dilihat dari segi positif.

Katanya, ketidaktentuan harga minyak global telah meningkatkan permintaan di pasaran baharu bagi produk gas dan gas cecair asli (LNG).

“Harga LNG yang rendah ketika ini telah membuka banyak pasaran baharu seperti India, Indonesia, Bangladesh dan Thailand berbanding hanya kuasa besar seperti China, Jepun dan Korea sebelum ini,” katanya.