Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kementerian juga sedang memperincikan pelan tindakan Industri 4.0 dan diharap dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Sebagai contoh, kita mahu PKS menjadi pengeluar pintar dengan kilang pintar dan pejabat pintar, selain daripada ciri-ciri biasa Industri 4.0. Kita perlu laksanakan mana yang termampu dahulu.

“Bagi kementerian pula, kita bersama pelbagai rakan agensi sedang memuktamadkan pelan tindakan yang akan memberi lebih pemahaman tentang Industri 4.0 kepada PKS di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Groom Big di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), Mohammad Husain Mohd. Dawoed.

Sebanyak 40 usahawan dalam kalangan PKS tempatan menyertai Program Groom Big Bagi Peningkatan Penarafan Score itu sebagai inisiatif mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, program selama dua hari itu menekankan kepada pengurusan kewangan, pembangunan kapasiti, pemasaran strategik dan bantuan pemudah cara daripada SME Bank dan rakan agensi.

“Ini adalah inisiatif kerajaan bagi menggalak, memupuk dan membangunkan usahawan PKS supaya muncul sebagai entiti perniagaan besar, berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan di peringkat domestik dan global.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program ini adalah meningkatkan penarafan Score peserta atau syarikat terpilih dalam bidang pembuatan daripada tiga bintang kepada sekurang-kurangnya empat bintang.

“Atau peningkatan prestasi sekurang-kurangnya dua daripada tujuh perimeter Score iaitu pres­tasi perniagaan, keupayaan kewangan, teknikal, pengeluaran, pengurusan atau inovasi sistem kualiti,” katanya.