Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Teater Encore Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek itu diunjur menarik sehingga 1.2 juta pelancong setiap tahun dan menjana RM179 juta kepada negara.

Katanya, ia selari dengan unjuran pihak kementerian yang menyasarkan sebanyak 33.1 juta pelancong dengan sejumlah RM118 bilion daripada resit pelancong pada 2018.

“Impression City adalah satu produk pelancongan yang unik buat negara dan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai, Datuk Wira Boo Kuang Loon.

Terdahulu, Nazri menyaksikan majlis menandatangani empat perjanjian di antara Yong Tai dan pihak terlibat. Pertama, perjanjian kemudahan di antara anak syarikat Yong Tai, PTS Impression Sdn. Bhd. (PTSI) dan Bank of China.

Kuang Loon berkata, Bank of China akan memberi kemudahan sebanyak RM100 juta untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan Teater Encore Melaka yang akan beroperasi pada suku kedua 2018.

Tambahnya, perjanjian kedua adalah perjanjian jualan sebanyak satu juta tiket Teater Encore Melaka dengan enam agensi pelancongan iaitu Majestic Express Holidays Sdn. Bhd., Apple Impression Holiday Sdn. Bhd., Levingo Travel Sdn. Bhd., Shanghai Ctrip International Travel Service Co.,Ltd., Coachliner 707 Travel & Tours Sdn. Bhd., WTS Travel & Tour Pte. Ltd.

“Perjanjian seterusnya di antara anak syarikat Yong Tai, YTB Impression Sdn. Bhd., (YTBI) dan Kirin Financial Group Limited yang akan melabur kira-kira RM400 juta di dalam projek pembangunan Impression City.

“Perjanjian perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di antara YTBI dan Agile Motion Sdn. Bhd., membolehkan Agile Motion mereka bentuk, membekal, menghantar dan memasang sistem bersepadu perkhidmatan dan aplikasi bandar pintar dan infrastruktur jalur lebar di Impression City,” katanya. - UTUSAN ONLINE