“Saya tidak percaya perkara ini menjadi kenyataan tetapi saya selalu berkata, percayalah kepada sesuatu yang sukar untuk dipercayai,” kata Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.

Beliau berkata, MoU itu bakal membawa kepada pembinaan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Zhengzhou dalam wilayah Henan, Tengah China sekali gus melengkapkan operasi AirAsia.

Katanya, AirAsia (China), syarikat usaha sama di China akan melabur dalam infrastruktur penerbangan termasuk terminal tambang murah khas di lapangan terbang Zhengzhou dan akademi penerbangan untuk melatih juruterbang, krew dan jurutera serta kemudahan MRO untuk selenggara pesawat.

Beliau berkata: “Ini adalah langkah ke hadapan, asalnya dengan dua pesawat pada 16 tahun lalu, kami berjaya bertapak di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Jepun, dan kini, China untuk meliputi semua kawasan di rantau Asia Pasifik.

Fernandes menjelaskan, Air­Asia kini menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang meng­­hubungkan pengguna me­liputi Asia Pasifik dari China, Jepun dan Korea Selatan di utara, Australia dan New Zealand di selatan, India dan Asia Ti­mur di barat dan ASEAN di tengah-te­ngahnya.

Beliau berkata de­mikian selepas majlis MoU antara AirAsia dengan China Everbright Group dan Henan Government Working Group yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Tony Fernandes, Presiden dan Pengarah Eksekutif, Everbright Financial Investment Holding, Wang Weifeng dan Pengurus Besar Henan Airport Group, Li Weidong.

Turut hadir pada majlis itu termasuklah, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya dan Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Fernandes berkata, AirAsia menjadi syarikat penerbangan tambang murah asing pertama memasuki China dan mengangkut lebih 40 juta penumpang sejak memulakan penerbangan pertama ke China pada bulan April 2015.

AirAsia dan AirAsia X kini terbang ke 15 buah destinasi di China dan menjadi syarikat penerba­ngan asing terbesar beroperasi di negara ini.

Beliau menjelaskan, Zhengzhou dipilih sebagai lokasi untuk bertapak kerana lokasinya yang strategik dan kepentingannya sebagai hab logistik.

Katanya, China merupakan pintu masuk ke Eropah dengan Zhengzhou berada di tengah-te­ngah rangkaian kereta api, lebuh raya dan pengangkutan udara bagi rancangan pembangunan rantau tengah dan barat.

“Dengan adanya visi Presiden China, Xi Jinping bagi inisiatif ‘One Belt, One Road’, tempat di mana AirAsia bertapak di China akan menjadi lebih penting sekurang-kurangnya sebagai pu­­sat perjalanan penerba­ngan kos rendah di utara Asia,” kata Fernandes.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, beliau berkata, ba­nyak kerja yang perlu dilakukan dan juga untuk mendapatkan kelulus­an tapi ia merupakan langkah ke hadapan untuk jenama Air­Asia.

Beliau berkata: “Pro­jek usaha sama akan mengambil ma­sa untuk dilaksanakan tetapi kerja­nya telahpun bermula. Contohnya di Jepun, masa yang diambil adalah setahun manakala di India pula, satu setengah tahun.

“Bagaimanapun, kita mempunyai rakan usaha sama yang kuat, kita lihatlah apa yang akan berlaku seterus­nya,” kata Fernandes.

Katanya, mengenai kos yang bakal ditanggung, pihaknya melihat kepada pelbagai cara dan kemungkinan yang ada tetapi rakan usa­ha sama telah memperuntukkan AS$100 ju­ta (RM433.7 juta) sebagai modal awal.

Beliau juga berkata, kehadiran AirAsia di China bermakna syarikat boleh terbang lebih mendalam ke China sambil menambah rakyat Malaysia boleh berkunjung ke lebih banyak tempat lain sekali gus menjadikan dunia semakin ke­cil. – Utusan