Pengarah Urusan Ikea Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, Ikea akan mendirikan gedung berkeluasan 65,000 meter persegi di Mall of Asia milik SM Prime Holdings Inc. yang mana ia memajak ruang berkeluasan lebih daripada 150 gelanggang bola keranjang.

Katanya, kebiasaannya gedung Ikea berkeluasan kira-kira 35,000 meter persegi.

“Buat permulaan Ikea akan membelanjakan kira-kira 7 bilion pesos (RM563 juta) bagi pembinaan, stok dan kakitangan gedung berkenaan yang dijangka menjual 9,000 produk,” katanya dalam kenyataan di laman web Ikea Filipina yang baharu dilancarkan hari ini.

Gedung beli belah tersebut dijangka mempunyai dua tingkat kedai, gudang, kemudahan e-dagang dan pusat panggilan yang akan menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada lima juta isi rumah dalam lingkungan 60 minit dari lokasi tersebut.

Syarikat itu juga dilaporkan akan menggaji seramai 500 orang kakitangan.

Filipina, yang mana kelas pertengahan semakin meningkat diramalkan akan membelanjakan lebih banyak daripada kuasa beli di Itali pada 2030, mempunyai populasi lebih daripada 105 juta orang yang dikuasai oleh demografi usia kerja.

Ekonomi negara berkenaan telah berkembang melebihi enam peratus untuk 13 suku berturut-turut, didorong oleh penggunaan swasta yang membentuk sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Peruncit perabot terbesar di dunia, Ikea kini berkembang pesat di Asia. Ia memulakan perniagaan pertama di India pada Ogos. Minggu lalu, syarikat itu dilaporkan berkata ia akan membuka gedung pusat bandar pertama di Tokyo pada 2020 berhampiran stesen metro yang paling sibuk.

Kompleks beli belah Mall of Asia terletak di kawasan permainan di Manila yang mana resort kasino bersepadu bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.19 bilion) telah dibina dan akan menarik pelancong terutama dari China sekali gus memacu harga hartanah di bandar berkenaan. – AGENSI