Bangunan moden tersebut yang akan mula dibina pada bulan hadapan dijangka mengambil masa kurang dua tahun untuk disiapkan dengan kos pembangunan kira-kira RM140 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, bangunan setinggi enam tingkat itu dijangka mula dibina bulan hadapan dan siap dalam tempoh dua tahun itu.

Menurutnya, ia akan menempatkan pejabat korporat dan bahagian operasi bagi AirAsia dan AirAsia X yang sebelum ini ditempatkan berasingan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) serta pejabat operasi sementara di [email protected]

“Bangunan korporat AirAsia ini mempunyai reka bentuk moden dan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, bilik mesyuarat, kafeteria yang luas, ruang istirehat untuk krew penerbangan dan gimnasium yang mampu menampung sebanyak 2,000 kakitangan syarikat ini.

“Bangunan ini diilhamkan oleh para AirAsia AllStar kami yang merupakan punca kekuatan dan kejayaan syarikat ini selama ini,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis pecah tanah ibu pejabat baharu AirAsia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd., Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar.

Fernandes berkata, bangunan baharu itu akan dinamakan RedQ singkatan kepada RedQuarters yang mencerminkan dinamisme dan semangat syarikat serta tenaga kerjanya untuk menjadikan AirAsia sebagai sebuah syarikat penerbangan berdaya tahan serta berjaya.

Katanya, nama itu dipilih daripada 1,300 penyertaan yang dibuat dalam kempen menamakan ibu pejabat baharu itu kepada seluruh AirAsia Allstars.

Dalam pada itu, mengulas mengenai status pejabat syarikat penerbangan itu di Indonesia, katanya, ibu pejabat AirAsia akan kekal di Malaysia manakala pejabat di Jakarta, Indonesia digunakan untuk peringkat serantau.

Mengulas mengenai sasaran pada tahun hadapan, katanya, pada tahun hadapan pihaknya menjangkakan pertumbuhan yang lebih baik dalam industri penerbangan berikutan beberapa perkembangan terkini seperti harga minyak yang menunjukkan penurunan dan sambutan menggalakkan di negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan menggiatkan promosi untuk menurunkan kadar tambang penerbangan bagi merangsang pertumbuhan pasaran dan membawa lebih banyak pelancong ke Malaysia menggunakan terminal baharu, klia2.