Boboiboy yang merupakan buah tangan sulung syarikat tersebut kini sudah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, Rusia, Arab dan Mandarin serta disiarkan di 45 buah negara di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd. Nizam Abd. Razak berkata, buat masa ini, syarikat mahu memberi tumpuan khusus untuk menguasai pasaran ASEAN dalam tempoh tiga hingga empat tahun sebelum menakluk pasaran Asia terutama China, India dan Jepun.

Ini kerana katanya, untuk berada dalam pasaran yang lebih luas, syarikat perlu membina jenama yang kukuh terutama bagi pengeluaran alat mainan termasuk yang bersaiz besar berbanding barang niaga sedia ada seperti kemeja T, poster dan rantai kunci.

“Setakat ini, barang niaga menyumbang 40 peratus kepada perolehan syarikat manakala alat mainan pula hanya 10 peratus. Isi kandungan masih menjadi penyumbang utama iaitu 50 peratus.

“Atas sebab itu, kita berharap kerjasama dengan syarikat dari Jepun, Tomy Company Ltd. (Tomy) dapat membantu Animonsta untuk menghasilkan lebih banyak permainan kanak-kanak bukan sahaja Boboiboy tetapi animasi baharu, Stoppy pada tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Animonsta dan syarikat mainan antarabangsa, Tomy menjalin kerjasama pada September 2014 bagi penghasilan animasi kanak-kanak baharu berasaskan watak kenderaan mainan keluaran Tomy dan juga penjenamaan semula Boboiboy, Boboiboy Galaksi.

Syarikat pengeluar mainan dan barangan hiburan kanak-kanak berkualiti tinggi itu sebelum ini terkenal dengan produk seperti Transformers, Pokemon, Chuggington dan Disney Pixar Cars.

Mohd. Nizam menubuhkan Animonsta bersama tiga rakan universitinya, Mohd Safwan Ab. Karim, Muhammad Anas Abdul Aziz dan Kee Yong Pin yang hanya mempunyai tujuh pekerja pada 2009 sebelum berkembang dan mempunyai 70 tenaga kerja hari ini. Mereka sebelum itu terkenal dengan animasi Upin Ipin menerusi produksi Les’ Copaque.

Setelah tiga musim bersiaran, Animonsta mengambil langkah berani untuk mengangkat karya siri Boboiboy ke layar perak melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta. BoBoiBoy: The Movie mula ditayangkan pada 3 Mac ini.

Menurut Mohd. Nizam, syarikat mengunjurkan dapat mencapai perolehan sebanyak RM15 juta tahun ini terutama didorong oleh tayangan filem tersebut dan jualan permainan kanak-kanak.

Menyentuh tentang pembangunan bakat dalam industri tersebut, beliau berkata, Malaysia secara dasarnya, tidak ketandusan bakat-bakat muda kerana ia sentiasa berkembang mengikut peredaran semasa dan hampir setiap tahun terdapat graduan bidang kreatif menamatkan pengajian.

Namun, menurut lepasan Universiti Multimedia ini, kreativiti seseorang itu dibezakan melalui sejauh mana kekuatan jalan cerita yang dihasilkan oleh sesebuah produksi berbanding aspek teknikal semata-mata.

Dalam pada itu, selepas 10 tahun bergelumang dengan pelbagai cabaran dalam dunia animasi, Mohd. Nizam memberitahu akan menghasilkan filem animasi baharu, Machamato yang berkisar tentang dunia robot.