Naib Presiden Perhubungan Media Antarabangsa, Bahagian Komunikasi Korporat Huawei, Joe Kelly berkata, demonstrasi yang ditunjukkan pada MWCS 2017 kali ini mengesahkan kadar jalur lebar tinggi dan potensi kelewatan yang lebih rendah dalam frekuensi C-band sekaligus menjadikannya asas bagi teknologi keterhubungan kenderaan pintar pada masa akan datang.

Katanya, demo tersebut turut menandakan pencapaian penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan terhadap kenderaan tanpa pemandu.

“Huawei membekalkan penyelesaian bagi teknologi tanpa wayar 5G yang menghubungkan kenderaan pintar SAIC Motor manakala China Mobile pula membekalkan perhubungan an­tata ketiga-tiga pihak bagi demo ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada acara MWCS 2017 di sini hari ini.

MWCS 2017) berlangsung dari 28 Jun hingga 1 Julai di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai (SNIEC).

Huawei merupakan rakan pla­tinum bagi acara tersebut.

Pada sesi demonstrasi tersebut, para pemandu ditempatkan se­jauh 30 kilometer daripada ken­deraan masing-masing.

Beberapa kamera video berdefinisi tinggi turut dipasang didalam kenderaan yang terlibat bagi memberikan rakaman video masa nyata kepada pemandu dengan paparan 240 darjah di sekeliling kenderaan menerusi rangkaian 5G.

Menurut Kelly, kawalan bagi setiap elemen kenderaan tersebut seperti stereng, pedal minyam dan brek turut dihantar melalui rangkaian 5G yang menyediakan latensi (kelewatan) ultra rendah yang diperlukan untuk menyokong tindak balas segera terhadap keadaan jalan yang berbeza.

“Latensi antara kenderaan direkodkan dalam masa kurang dari 10 milisaat. Ini bermakna apabila sesebuah kenderaan bergerak da­lam kelajuan 30 kilometer sejam, jarak antara waktu berhenti dan pecutan sebenar hanya lapan sentimeter,” katanya.

Beliau berkata, kawalan pemanduan jarak jauh mempu­nyai potensi untuk dibangunkan da­lam pelbagai aplikasi pada masa hadapan.

“Ini terutamanga dalam kea­daan persekitaraan yang berbahaya seperti industri perlombo­ngan, tapak pelupusan sisa atau kerja-kerja yang memerlukan kecekapan tinggi,” katanya. – UTUSAN