Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kerjasama itu bakal menyaksikan pembinaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pusat data yang mempromosikan sambungan jalur lebar yang lebih cepat dan stabil dengan liputan yang lebih luas.

Katanya, melalui inisiatif ini, negeri Terengganu akan dapat memanfaatkan ‘Internet segalanya’ (IoT) serta penggunaan platform aplikasi pintar bagi melaksanakan penyelesaian digital ke semua industri seperti pendidikan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, peruncitan, keselamatan, kilang industri, rumah pintar, grid tenaga dan lain-lain.

“Projek ini juga merangkumi perkongsian pengetahuan ICT secara terbuka melalui program latihan ke seluruh negara dengan harapan ia dapat memacu pembangunan sosio ekonomi di ne­geri Terengganu,” katanya.

Majlis pertukaran MoU tersebut turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu dan Ketua Pegawai Eksekutif Bergilir, Huawei Technologies Sdn. Bhd. Guo Ping.

Tambah Ahmad Razif, ketersambungan digital adalah pen­ting dalam pembangunan sosio ekonomi Terengganu, bagi memupuk bakat dan merangsang pembentukan minda digital.

“Kami berharap agar dapat bekerjasama dengan Huawei dalam merealisasikan aspirasi Terengganu untuk diperkasakan dengan portfolio penyelesaian ICT yang menyeluruh, terutamanya dalam bidang e-dagang,” katanya.

Sementara itu Liu berkata, selaku peneraju infrastruktur digital, Huawei komited dalam membantu Terengganu mencapai transformasi digital.

“Projek ini akan mencetus inspirasi untuk berinovasi serta mewujudkan budaya digital dalam kalangan orang ramai, dan membawa nilai kepada komuniti dan perniagaan,” katanya.

Dalam majlis sama, Huawei turut mengadakan majlis MoU di antara pihaknya dan SME Corp., CyberSecurity Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah bagi memperkasakan penggunaan teknologi dan ICT untuk ketiga-tiga pihak yang terlibat.