Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan YTL Group, Tan Sri Dr. Francis Yeoh, namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Ya, kami berharap dapat turut memainkan peranan dalam pembinaan projek tersebut. Namun, saya tidak boleh memberi komen lebih lanjut di sini, mungkin dalam sesi yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada YTL mahu terlibat sama dalam projek HSR yang dilaporkan proses bidaan dan pemilihan syarikat pemaju telah bermula.

Sebelum ini, MRCB dan Gamuda dilaporkan telah memeterai perjanjian untuk menubuhkan satu konsortium yang tidak diperbadankan pada asas 50:50 untuk terbabit dalam tender menjadi Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDB) bagi projek HSR.

Selain itu, IJM Corp , Sunway Construction, George Kent dan Siemens turut dilaporkan berminat untuk terlibat dalam projek berkenaan.

Dijangka siap menjelang 2026, iaitu kira-kira sembilan tahun dari sekarang, projek berkenaan menjadi penanda aras kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.

Terdahulu, Yeoh menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara YTL Hotels dan Marriot International bagi membina empat buah hotel mewah di ibu negara dan Hokkaido, Jepun.

YTL Hotels diwakili Pengarah Eksekutifnya,  Datuk Mark Yeoh, manakala Marriot International diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arne Sorenson dan Presiden dan Pengarah Urusan bagi Asia Pasifik, Craig Smith.

Dua hotel mewah yang bakal dibina di Malaysia terletak di KL Sentral dan KLCC dengan jenama JW Marriot dan EDITION, sementara di Hokkaido, Jepun jenama EDITION dan W Hotel.

“Pada masa ini kami mempunyai 11 rangkaian hotel Marriot International dalam portfolio 32 aset hospitaliti, menjadikan kami satu daripada pemilik terbesar jenama itu di Asia,” jelas Yeoh.