Menurut MyHSR Corp., kerajaan Malaysia dan Singapura telah menyatakan komitmen untuk membuat pemilihan sistem teknologi atau kereta api yang akan dilaksanakan menerusi tender terbuka antarabangsa.

Jelasnya, langkah itu adalah konsisten dengan pendekatan yang diambil MyHSR Corp. dalam semua tender sebelum ini, misalnya tender bagi Rakan Kongsi Projek (PDP) menggalakkan pembentukan kerjasama antara firma antarabangsa dan tempatan.

“Kami percaya dengan pen­de­katan perolehan yang dilaksa­nakan ini membolehkan tenaga pakar baik di peringkat an­­tarabangsa mahupun tempatan bekerjasama dan mengemukakan cadangan terbaik bagi merealisasikan pembangunan projek HSR ini. Justeru kami amat menggalakkan sebarang pengumuman terbaharu melibatkan kerjasama ini.

“Malah, kami juga menerima banyak sokongan daripada pemain global sejak melaksanakan amalan interaksi pasaran pada tahun ini termasuk yang menunjukkan minat untuk menyertai tender AssetsCo. Oleh itu, kami tidak akan membuat sebarang spekulasi lebih lanjut berhubung perkara ini,” jelasnya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 20 Disember lalu, MyHSR Corp. dan SG HSR Private Ltd. (SG HSR) mengumumkan akan me­mu-
lakan bidaan bagi tender Assets Company (AssetCo), yang akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara projek berkenaan.

Susulan itu, awal minggu ini, media China, Caixin melaporkan konsortium yang diterajui syarikat pengendali kereta api milik kerajaan China, China Railway Corp. (CRC) yakin mempunyai peluang yang tinggi dalam projek HSR.

Konsortium itu juga melibatkan China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC), China Investment Corp, Export-Import Bank of China (Exim Bank), China Railway Signal & Communication Corporation Ltd. dan CRRC Corporation Ltd. dijangka menyerahkan tender mereka pada 29 Jun 2018.