Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor berkata, tiga starategi berkenaan amat penting untuk segmen motosikal berkuasa tinggi bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai keberadaan produk di pasaran dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan terbaik berbanding pesaing lain.

Jelas beliau, saban tahun motosikal keluaran Yamaha semakin sofistikated dan canggih menyebabkan ia memerlukan kepakaran khusus untuk pembaikan dan penyelenggaraan.

“Kami mempunyai hampir 50 pengedar di seluruh negara. Bagaimanapun tidak semua pengedar dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk motosikal berkuasa tinggi.

“HLYM memilih secara teliti pengedar supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada para pelanggan. Selain itu, kami sentiasa melatih dan mendedahkan para mekanik Yamaha dengan teknologi tinggi yang digunakan oleh motosikal dalam segmen ini,” katanya dalam majlis pelancaran motosikal Yamaha MT-09 di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hong Leong Yamaha Motor, Shinsuke Yamaura, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran (Perniagaan Motosikal) Yamaha Motor Co. Ltd, Keitaro Horikoshi dan Timbalan Pengerusi Persatuan Motosikal dan Skuter Malaysia, Datuk Tan Thye Chye.

Dalam pada itu, Khor berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 700 buah motosikal MT-09 pada 2018.

Katanya, motosikal berkuasa tinggi yang berkapasiti enjin 847cc itu berharga RM47,388 sebuah.

“MT-09 diinspirasikan daripada model premium iaitu MT-10 Hyper Naked dan merupakan model pemasangan tempatan (CKD). Menggunakan enjin 847 cc tiga silinder pastinya menjadikan jentera ini lebih berkuasa ketika memecut.

“Motosikal ini direka untuk memberikan rupa dan gaya luaran yang agresif dengan lampu hadapan dan belakang menggunakan diod pemancar cahaya (LED). Selain itu, terdapat juga Quick Shift System (QSS) dan kawalan teknologi elektronik termaju yang memberikan kelancaran dan keselesaan ketika tunggangan,” kata beliau.