Anugerah berkenaan mengiktiraf jenama halal terkemuka dalam kategori masing-masing serta komitmen mereka untuk sentiasa mematuhi prinsip halal sebagai teras kemajuan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd. Asri Omar berkata, anugerah itu bukti usaha berterusan kumpulan untuk mencapai kegemilangan dalam membangunkan produk patuh syariah yang inovatif dan memberi perkhidmatan terbaik dengan penuh dedikasi kepada para pelanggan.

Katanya, anugerah itu sememangnya amat bersejarah buat HLM Takaful dan ia me­ngukuhkan lagi komitmen dan semangat kami untuk terus menyediakan penyelesaian takaful terbaik kepada pelanggan.

"Saya mendedikasikan anugerah ini kepada semua pelanggan, kakitangan, rakan bank dan tenaga agensi kami di atas peranan penting yang telah mereka sumbangkan demi kejayaan kami.

"Kemenangan yang bermakna ini akan menjadi pemangkin untuk kami terus cemerlang dalam setiap aspek perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan memperoleh pensijilan halal dan menepati standard yang sepatutnya, jenama penerima anugerah telah memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim. Ia sekali gus memberi impak penjenamaan yang positif kepada masyarakat.

HLM Takaful adalah pengendali takaful berlesen sejak 2006 dan merupakan komponen utama perkhidmatan kewangan Islam Hong Leong Financial Group.

Ia merupakan satu platform bersepadu yang menawarkan perbankan islam, pelaburan islam, pengurusan harta islam, dan takaful berdasarkan pematuhan syariah.