Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, gudang itu yang terletak di atas tapak 50.000 persegi meter tanah dibuka pada 2012 menampung keperluan 93 pengedar Honda di Malaysia.

Katanya, Honda Malaysia baru-baru ini selesai menyiapkan fasa kedua gudang itu di Bukit Jelutong untuk memenuhi permintaan selepas jualan yang semakin mening­kat seiring dengan pertumbuhan jualan.

Ruang simpanan yang lebih luas itu menambah baik operasi pergudangan, mempercepatkan penghantaran alat ganti kepada peniaga, pelanggan serta menyokong pertumbuhan perniagaan masa depan.

“Honda Malaysia merekodkan pertumbuhan jualan dan pengambilan perkhidmatan luar biasa dalam tempoh empat tahun lepas seterusnya diterjemahkan kepada peningkatan permintaan bagi alat ganti.

“Perkembangan ini adalah tepat pada masanya kerana jualan alat ganti naik 32 peratus manakala permintaan aktiviti cat meningkat sebanyak 48 peratus pada 2017,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan gudang dipertingkat itu, Honda Malaysia akan dapat me­nyampaikan alat ganti pada waktu yang tepat kepada peniaga, ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.

Fasa kedua itu meliputi penstrukturan semula penempatan stok, lokasi di gudang dan pengoptimuman ruang bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan.

Ia termasuk meletakkan barangan yang kerap diambil berhampiran kawasan keluar untuk menjimatkan masa perjalanan semasa mengambil dan mengurangkan pergerakan ‘fork-lift’.

Pada masa yang sama, operasi penyimpanan sekarang memaksimumkan ruang sedia ada yang tidak digunakan sebelum ini.