Angka itu dicatatkan dalam tempoh 14 tahun sejak kemudahan pengeluaran pertama mula beroperasi pada 2003 dan kemudahan kedua 2014.

Selain itu, syarikat automotif itu turut mencapai jualan sebanyak 100,000 buah kenderaan bagi tahun kewangan semasa iaitu daripada April tahun lalu hingga bulan ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, penambahan kemudahan kedua pada 2014 membolehkan jenama itu berkembang dengan pesat di negara ini.

“Kemudahan kedua ini membantu mencapai pengeluaran sebanyak 300,000 buah dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk pengeluaran 300,000 buah pertama sebelum ini.

“Saya percaya pencapaian ini diperoleh menerusi strategi perniagaan dan semangat menyahut cabaran yang kukuh dalam kalangan keluarga Honda,” katanya ketika berucap meraikan pencapaian bersejarah itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Eksekutif dan Pegawai Eksekutif Honda Motor Co. Ltd., Seiji Kuraishi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co. Ltd., Noriaki Abe.

Kenderaan ke-600,000 buah yang dikeluarkan di kilang itu ialah City baharu iaitu model paling penting yang menyumbang jualan terbesar Honda di Malaysia sekali gus meneraju segmen B untuk dua tahun berturut-turut.

Ketika ini, kedua-dua kemudahan pengeluaran Honda melibatkan 3,474 tenaga kerja setakat Januari itu menghasilkan tujuh model secara keseluruhan iaitu Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V.

Dilengkapi teknologi canggih, kilang tersebut dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan.

Sebagai contoh, tempoh menunggu BR-V cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun model itu menerima tempahan hampir 100,000 buah iaitu 12 kali ganda daripada sasaran jualan bulanannya.

Malah, secara puratanya tempoh menunggu untuk semua model Honda kini sekitar satu hingga dua bulan sahaja.

Antara teknologi terkini di kilang itu termasuk mesin kimpalan pintar automatik untuk menghasilkan kerangka badan bertegaran tinggi dan kemudahan mengecat yang memenuhi piawaian antarabangsa menerusi robot penyembur.

Kilang itu juga dilengkapi dengan trek ujian sejauh 2.1 kilometer bagi membolehkan setiap kenderaan menjalani ujian yang teliti memenuhi kualiti dan piawaian jalan raya Malaysia tanpa sebarang masalah.

Menurut Hayashi, Honda Malaysia ketika ini berada pada kedudukan pertama sebagai pengeluar kenderaan bagi segmen bukan nasional, manakala tempat kedua bagi jumlah jualan kenderaan (TIV) keseluruhan.

“Honda Malaysia mendahului operasi pasaran global dengan catatan penguasaan pasaran tertinggi dari segi peratusan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini,” katanya.