Pusat jualan, servis, alat ganti dan perkhidmatan mengecat dengan keluasan 43,400 meter persegi dan mempunyai 37 ruang servis itu dibuka dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di negeri ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah berkata, Johor merupakan penyumbang terbesar jualan bagi wilayah selatan iaitu sebanyak 70 peratus dengan model Honda City menjadi pilihan utama pe­langgan.

“Pada tahun 2016, selain Johor, wilayah selatan yang me­rangkumi Melaka dan Nege­ri Sembilan menyumbang sebanyak 20 peratus bagi jumlah jualan keseluruhan Honda Malaysia dengan 18,600 buah dan menjadi penyumbang kedua terbesar kami,” kata­nya dalam majlis perasmian pusat 4S berkenaan, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Oriental Holdings Berhad, Datuk Loh Kian Chong.

Roslan berkata, dengan pencapaian tersebut, Johor turut merekodkan peningkatan sebanyak 15 peratus dengan 128,000 kereta mendapatkan khidmat servis tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Justeru, pembukaan pu­sat 4S terbesar itu yang dilengkapi pelbagai kemudahan adalah tepat pada masanya, sekali gus mampu memenuhi dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Honda Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, Honda berjaya mengekalkan kedudukan pertama sebagai pengeluar kendera­an bagi segmen bukan nasional apabila merekodkan 45 peratus peningkatan jualan pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2016.

Menerusi pencapaian itu, Honda kekal berada pada kedudukan kedua bagi jumlah jualan kenderaan (TIV) keseluruhan dengan penguasaan pasarannya mencecah 20.5 peratus pada bulan lalu, tertinggi pernah direkodkan syarikat ber­kenaan.