Pusat 3S Honda berkenaan akan menyediakan kemudahan asas kepada pelanggan yang semakin meningkat di Sabah de­ngan empat ruang servis yang boleh menampung perkhidmatan sehingga 30 buah kereta sehari.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, lokasi pusat 3S baharu di Keningau tersebut akan mempermudahkan urusan pe­langgan di bandar berhampiran seperti Tenom dan Tambunan.

“Dengan asas pelanggan yang semakin meningkat di Sabah, kami sentiasa mencari peluang bukan sahaja untuk mengukuhkan bahagian pasaran, tetapi juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.

“Pembukaan Pusat 3S Honda ini akan memperluas jangkauan kami ke bahagian lain di Sabah, selain terus bekerjasama rapat dengan pengedar untuk meningkatkan kepuasan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Vermillion Autohaus turut menyediakan kemudahan se­perti ruangan pelanggan, kaunter kafe, surau, sudut kanak-kanak, jalur lebar mudah alih (WiFi), tempat mencuci kereta, pembaharuan cukai jalan dan insurans.

Ishiyama berkata, bahagian pasaran Honda di Sabah dan Sarawak semakin meningkat dan menyumbang jualan sebanyak 6,000 buah kenderaan daripada keseluruhan 87,800 buah yang terjual antara Januari hingga Oktober 2017.

“Untuk tempoh tersebut juga, Sabah menyumbang jualan lebih daripada 2,000 buah kenderaan, iaitu meningkat sebanyak 55 peratus berbanding tempoh sama tahun 2016 dengan BR-V sebagai model terlaris,” ujarnya.