Ini kerana selama ini CR-V menggunakan enjin 2.0 liter ke atas dan bila disebut 1.5 liter, pemikiran ramai pantas tertanya, kenapa enjin kecil? Tidakkah ia sesuai untuk model lebih kecil Honda iaitu HR-V? Pertamanya, varian enjin 2.0 masih ditawarkan bagi yang mahukannya. Malah lebih murah!

Sudah terbalikkah kaedah Honda dalam mengetengahkan model keretanya?

Mungkin. Bagi anda yang masih tidak mendalami apa keupayaan enjin 1.5 liter pada CR-V , sila baca butiran di bawah:

Enjin 1.5 ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.5L Turbocharged Premium 2WD: RM157,855; 1.5L Turbocharged 2WD: RM146,534 dan 1.5L Turbocharged 4WD: RM152,100. Varian 2.0 ialah RM133,545 sebuah. Dan ini harga setakat 31 Ogos ini, sebelum SST dilaksanakan mulai 1 September.

Apa kelebihan enjin 1.5 ini?

Enjin 4 Silinder, 16 Injap, DOHC VTEC Turbo menggunakan system Suntikan Bahan Api secara Elektronik (PGM-FI) mampu mengeluarkan kuasa 193 PS pada 5,600 rpm dengan kuasa kilas 243 Nm pada 2,000-5,000 rpm.

Model CR-V generasi sebelum ini menggunakan enjin 2.4 liter menghasilkan 190 PS pada 7,000 rpm, dan kuasa kilas 222 Nm pada 4,400 rpm.

Honda membuktikan bahawa anda tidak memerlukan enjin bersaiz besar untuk mendapatkan kuasa besar di atas jalan raya. Teknologi yang ada pada Honda mengesahkan enjin turbocharged 1.5 liter menghasilkan prestasi lebih baik, memandangkan kuasa kilas dicatatkan daripada serendah 2,000 rpm, manakala kuasa kilas enjin 2.4 liter hanya boleh dihasilkan pada 4,400 rpm.

Ayat di atas diterjemahkan sebagai ‘lebih jimat bahan api’ dan juga tidak perlu menanggung kos cukai jalan tinggi. Beza besar cukai jalan bagi enjin 2.4 liter dengan 1.5 liter.

Apakah sebenarnya teknologi Honda Sensing?

Ia bukan bahasa Jepun. Tiada kaitan dengan sinseh. Ia dari bahasa Inggeris ‘sense’ iaitu menjadi panca indera tambahan untuk pemandu. Terdapat dua ciri iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow (LSF).

Kedua-dua ciri-ciri berkenaan membolehkan pemandu memandu pada jarak yang selamat dari kenderaan di hadapan tanpa perlu menekan brek atau minyak.

ACC mengekalkan jarak selamat dari kenderaan di hadapan dan akan membrek secara automatik jika kenderaan hadapan diperlahankan. Ia akan membrek terus jika perlu.

Kemudahan ini berfungsi antara 30 kilometer sejam (km/h) dan 180 km/h. Pada kelajuan di bawah 30 km/h, LSF akan mengambil alih dan secara asasnya akan menggunakan fungsi sama.

Ketika ACC berfungsi pada peluncuran lebuh raya, LSF adalah ciri-ciri tambahan yang amat bermanfaat bagi pemanduan di dalam bandar. Ia membolehkan keletihan pemanduan diminimumkan.

Sudut tidak dapat dilihat atau ‘blind spot’ juga diatasi sebaik mungkin menerusi teknologi ini iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

Selain itu, terdapat kamera di bawah cermin sisi sebelah kiri, yang visualnya disiar pada paparan, membantu anda untuk membelok ke kiri.

LDW memantau posisi lorong dan memberi amaran kepada pemandu jika mereka keluar dari garisan.

RDM akan memberikan amaran, membrek dan membantu pemandu menstabilkan stering bagi mengelak kereta terbabas ke luar jalan.

Di dalam LKAS pula, sebuah kamera akan membaca pe­nandaan lorong dan membantu kemudi pemandu bagi kenderaan berada di dalam lorong.