Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HLB, Domenic Fuda berkata, pembiayaan PKS mewakili 16 peratus daripada jumlah kese­luruhan pinjaman bank dengan jumlah pelanggan mencecah 120,000 orang.

Jelas beliau, pihaknya memperkenalkan skim SMElite de­ngan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang membantu PKS mendapatkan pinjaman bagi pembelian hartanah dan membiayai modal kerja.

“Skim ini dijamin oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) melalui Jaminan Portfolio (PG). Kami menyasarkan sebanyak 500 PKS akan mendapat manfaat daripada program ini.

“SMElite disediakan kepada PKS yang layak dengan pinjaman sehingga RM5 juta bagi pembe­lian serta pembiayaan semula hartanah dan digabungkan de­ngan keperluan modal kerja sehingga 150 peratus daripada margin pembiayaan,” katanya dalam majlis pelancaran Penyelesaian e-perniagaan HLB dan SMElite di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngurus Besar Kumpulan PKS HLB, Terrence Teoh, Presiden dan CEO CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak dan Ketua Pegawai Operasi Hong Leong Islamic Bank, Irnyza Ngah.

Sementara itu Fuda berkata, HLB menerusi platformnya, HL ConnectFirst Lite bekerjasama dengan Biztory, Kakitangan, SimpleTax dan Digital Advert menawarkan Penyelesaian Perniagaan Digital yang menggabungkan penyelesaian kewangan serta perniagaan digital yang komprehensif dan inovatif.

Menurutnya, HL ConnectFirst Lite merupakan platform perbankan dalam talian yang membantu PKS melakukan transaksi dengan mudah sementara Biztory adalah penyelesaian kepada perisian perakaunan awan dan invois.

“Kakitangan membantu dalam menguruskan segala urusan ber­kaitan sumber manusia seperti sistem gaji manakala SimpleTax merupakan alatan dalam talian berhubung jualan, cukai jualan dan cukai pendapatan.

“Digital Advert menawarkan pakej perkhidmatan pengiklanan luaran digital yang boleh diakses di 3,500 skrin digital di seluruh negara. Kesemua e-alatan ini adalah percuma kecuali Digital Advert yang mana kami akan me­nyalurkan subsidi,” katanya.