Timbalan Ketua Pe­gawai Eksekutif (Pe­­laburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, prestasi portfolio KWSP mengambil manfaat daripada pasaran ekuiti luar negara pada suku berkenaan.

Katanya, KWSP tidak menyaksikan pulangan yang sama dari pasaran domestik apabila pres­tasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah mendatar berbanding pasaran lain yang mencatat perkembangan antara dua ke lima peratus.

“KWSP mencatatkan jumlah rosot nilai bersih lebih rendah pada RM791.55 juta dalam suku tahun yang dikaji, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), berbanding RM349.59 juta pada Q3 2016.

“Ini berikutan peruntukan yang lebih tinggi diambil untuk ekuiti domestik dalam sektor telekomunikasi dan minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada suku ketiga 2017, ekuiti merangkumi 41.86 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP menyumbang sebanyak RM7.91 bilion atau 61.09 peratus dari keseluruhan pendapatan pelaburan.

Setakat September 2017, sebanyak 50.45 peratus dari aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang merekodkan pendapatan sebanyak RM4.49 bilion, bersamaan dengan 34.63 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan suku tahun.

Dalam pada itu, Mohamad Nasir berkata, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi sebanyak 30 peratus dari jumlah aset pelaburan, menyumbang 48 peratus kepada keseluruhan pendapatan pelaburan di dalam suku tahun yang dikaji.

“Nilai aset pelaburan KWSP kini mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion daripada RM731.11 bilion dalam 31 Disember 2016.

“Daripada jumlah aset pe­laburan, sebanyak RM370.10 bi­lion atau 48 peratus adalah dalam pelaburan patuh syariah manakala selebihnya dalam aset tidak patuh syariah,” katanya.