Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong (gambar) berkata, ia merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk bersiap sedia memanfaatkan Industri 4.0.

Katanya, menerusi kerjasama dengan 9 Dots Consulting, syarikat penyedia penyelesaian ERP, Hartalega akan melaksanakan rangkaian lengkap penyelesaian Microsoft Dynamics 365 untuk menyepadukan proses perniagaan.

“Memanfaatkan teknologi canggih seperti Industri 4.0 dan Internet Segala-galanya (IoT) akan membolehkan kami mengambil langkah seterusnya untuk merapatkan ke­terhubungan antara automasi dan data bagi membangunkan sistem pengilangan dan perniagaan bersepadu serba canggih.

“Pelaburan dalam teknologi ini amat penting memandangkan industri kini bersifat lebih global dan persaingan dengan negara-negara lain semakin hari semakin sengit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aplikasi ERP adalah komponen penting kebanyakan projek teknologi maklumat (IT) Hartalega termasuk IoT untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi bagi sarung tangan di peringkat global.

Menurut Mun Leong, pihaknya menyedari keperluan untuk me­laksanakan ERP bagi mengurangkan kos dan pembaziran dalam proses pengeluaran sarung tangan.

“Ini akan membolehkan kami memantapkan operasi dan menyepadukan automasi seluruh rantaian bekalan seterusnya meningkatkan produktiviti, menambah kecekapan, mengurangkan kos dan menjana keuntungan bagi kumpulan.

Sementara itu, Pengasas dan Pemilik 9 Dots Consulting, Yap Sim Chin berkata, pihaknya gembira kerana diberi amanah untuk melaksanakan proses penilaian proses perniagaan (BPR) yang merupakan rangka tindakan asas pelaksanaan ERP kumpulan Hartalega.

“Projek bakal dilancarkan menjelang akhir 2018 dan dilaksanakan secara rintis di Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang Hartalega di Sepang. Ini seterusnya akan dilaksanakan di kilang-kilang Bestari Jaya Kumpulan pada 2019,” katanya.