Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, sarung tangan tersebut dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Chemical Intelligence United Kingdom dan mempunyai teknologi antimikrob yang tersedia untuk membunuh mikro organisma bagi mencegah penyebaran jangkitan.

Mun Leong berkata, Hartalega akan terus membuat pelaburan-pelaburan yang signifikan pada masa hadapan bagi menghasilkan lebih banyak produk-produk inovatif untuk pasaran tempatan dan global.

“Teknologi serba maju ini adalah yang pertama mengandungi molekul pembunuh mikro organisma aktif baharu dan direka cipta untuk mencegah penyebaran bakteria kepada dan daripada permukaan serta manusia.

“Dengan teknologi yang tersedia dalam sarung tangan, bahan kimia atau larutan lanjutan tidak perlu digunakan. Bakteria yang bersentuhan dengannya akan terdedah kepada aktiviti antimi­krob yang mencapai kadar pembunuhan sehingga 5-log (99.999 peratus) dalam masa hanya lima minit selepas sentuhan, berasaskan ujian bebas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis pelancaran produk baharu itu telah diadakan pada simposium anjuran syarikat ber­ke­naan di Royal Society of Medicine, London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Tambah Mun Leong, inovasi yang pertama seumpamanya dalam penghasilan sarung ta­ngan antimikrob tidak larut resap memberikan perlindungan aktif terhadap jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (HAIs).

“Produk ini ternyata satu kemajuan besar bagi industri, sebagai yang pertama di dunia dengan tahap keberkesanan dan prestasi sedemikian. Sarung tangan ini akan dibekalkan ke hospital di seluruh dunia dan dikilangkan pada kos rendah untuk mengelakkan sebarang halangan pemerolehan.”

“Kami berharap produk ini bakal menaik taraf dan menjadi piawaian baharu bagi industri penjagaan kesihatan global, dalam usaha menyelamatkan nyawa di seluruh dunia,” katanya.

Kumpulan Hartalega merupakan pengeluar sarung tangan lateks premium sejak 1988 dan kini beroperasi di Bestari Jaya dan Sepang, Selangor dan mempunyai kapasiti pengeluaran semasa yang boleh menghasilkan lebih 30 bilion sarung tangan setahun.

Hartalega kini merupakan pengilang terbesar sarung tangan nitril di dunia dan mengeksport ke 60 negara meliputi lima benua, iaitu Amerika, Asia, Eropah, Australia dan Afrika.