Kaedah ini memang terbukti di Malaysia. Para pelanggan apabila terdengar sahaja ada promosi jualan murah, bukan sahaja tidak dapat tidur pada malam sebelumnya, mereka sanggup menghubungi majikan mereka untuk bercuti kecemasan kerana ingin ponteng kerja keesokan harinya semata-mata untuk bersengkang mata menunggu di hadapan kedai anda seawal pukul 2 pagi.

Bukan itu sahaja, mereka juga sanggup berdiri atau melepak berjam-jam dalam kesejukan malam menunggu giliran mereka untuk masuk ke kedai anda yang hanya akan dibuka pada pukul 10 pagi. Keluarga ditolak ke tepi, berada di kedai adalah lebih penting pada waktu itu.

Membeli produk berjenama pada harga yang amat murah memang jarang berlaku di Malaysia. Walaupun produk yang ditawarkan itu adalah produk yang dipamerkan di ruang pameran, yang telah dipegang, ditekan, dibersinkan, disentuh oleh beribu-ribu jenis manusia sepanjang berada di ruang pameran kedai, rakyat Malaysia sanggup membelinya. Walaupun jangka hayat produk tersebut telah berada di penghujungnya, mereka tidak kisah. Bukan itu sahaja, mereka juga sanggup membeli walaupun tiada tempoh jaminan dan perlu diperbaiki selepas itu. Dan mereka tidak peduli tentang kos baiki yang mungkin akan melebihi harga pembelian.

Sebagai pemilik jenama produk, anda jangan jadi kurang siuman dengan menawarkan barangan berkualiti kepada para pengguna di negara ini kerana di Malaysia, keba­nyakannya tidak tahu menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata.

Tetapi untuk menilai harga sama ada murah ataupun mahal, mereka lebih cekap. Setiap keputusan pembelian akan berdasarkan harga sahaja, jadi ja­ngan membuang masa memberikan kualiti kepada mereka. Rugi.

Cara bagaimana anda menulis promosi juga penting, agar nampak memang murah gila berbanding harga pasaran. Kalau bakal pelanggan anda tidak dapat melihat bagaimana murahnya harga produk yang anda tawarkan itu, maka strategi anda tidak akan menjadi.

Mereka perlu mampu untuk mencongak beberapa saat sahaja dalam pemikiran mereka dan membuat keputusan yang harga anda memang murah. Buatkan mereka tahu yang promosi ini yang pertama dan terakhir.

Tidak perlu membayar iklan di Facebook atau media sosial lain kerana ia pasti akan tersebar dengan sendirinya. Berikan tempoh lebih kurang seminggu lebih anda akan sedar yang promosi anda telah berjaya menggegarkan satu negara. Di Malaysia, semua perkara yang pelik-pelik pasti akan tersebar dengan lebih cepat daripada cepat. Ini perkara biasa.

Jadi penggunaan perkataan-perkataan seperti jualan harga gudang, harga runtuh, harga penghabisan stok dan promosi sebelum pindah amat membantu. Jangan lupa, poster dan senarai harga yang hendak ditawarkan juga perlu mudah dilihat dan senang difahami.

Lihat sahaja di mana-mana jualan di Malaysia, pasti ramai yang berpusu-pusu ke tempat tersebut tidak kira siang atau malam. Daripada jualan buku yang sering dibuat setiap tahun di Seri Kembangan, sehinggalah kepada baru-baru ini di Cheras yang membuat promosi murah menjual peranti-peranti mudah alih berjenama yang mempunyai kualiti di bawah ‘tahap lantai’. Memang ramai.

Di negara ini, para pengguna rata-rata sudah biasa membeli produk berjenama tetapi berkualiti tiruan. Daripada jam tangan, beg tangan, telefon pintar, kasut, selipar, beg silang, peranti-peranti mudah alih sehinggalah kepada baju, seluar dalam, baju taekwando, basikal, alat solek, produk perhiasan diri, jersi kelab bola sepak dan bermacam-macam lagi. Dari luaran, masing-ma­sing nampak macam selebriti, hebat bergaya tetapi malang­nya semua itu tiruan.

Adakah mereka tidak mampu? Mungkin. Mungkin juga mereka rasa tidak berbaloi membeli dan menggunakan produk berjenama yang asli. Dengan sebab-sebab ini, produk-produk tiruan yang mempunyai gred AAA se­ring terjual dengan banyak­nya. Di sini, kita dapat melihat bagaimana selera mereka yang jauh berbeza dengan kemampuan yang ada. Jadi apabila mereka terdengar sahaja ada promosi yang menjual produk berjenama yang asli tetapi pada harga lebih murah daripada produk tiruan, masing-masing terus laju mengorak langkah menuju ke tempat itu.

Jadi, sekiranya anda menjual produk-produk sebegini, maka anda tidak perlu mempunyai strategi pemasaran yang dahsyat. Cukup sekadar harga yang murah sahaja sebagai tarikan. Pelanggan pasti datang. Ini kerana tabiat kebanyakan para pengguna di Malaysia yang sememangnya membuat keputusan melalui harga, dan bukannya kualiti.