Pengasas firma penasihat dan rangkaian usahawan Soul Rich Woman (SRW), Genecia Alluora berkata, berdasarkan data yang dikumpul, Malaysia mempu­nyai kadar jualan antarabangsa terendah dalam kalangan usahawan wanita di rantau ini, de­ngan purata bilangan usahawan hanya kira-kira 9 peratus berbanding negara-negara jiran.

Katanya, antara halangan utama yang menyebabkan kurang­nya usahawan wanita Malaysia memasarkan produk mereka ke luar negara adalah kekurangan kemahiran dan pengetahuan terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan digital.

“Kebanyakan usahawan wani­ta Malaysia terutamanya dalam sektor runcit dan borong sememangnya telah memiliki produk yang unik dan boleh dipasarkan ke peringkat global.

“Mereka seharusnya peka dengan perkembangan teknologi maklumat dan digital masa kini yang membolehkan hampir apa sahaja produk dipasarkan ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, bagi memupuk kese­daran terhadap lebih ramai usahawan wanita terutamanya daripada kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran global, mereka digalakkan mula menjual produk dalam talian menerusi mana-mana platform e-dagang sedia ada atau menerusi media sosial

Katanya, ia adalah antara titik permulaan yang boleh dilakukan sebelum para usahawan wanita mula mempunyai laman web sendiri.

“Mungkin kos bagi membina laman web sendiri bagi perniagaan masing-masing terlalu besar, jadi mereka boleh menggunakan platform dalam talian kerana pasaran global telah tersedia untuk dimanfaatkan,” katanya.

Untuk itu kata, SRW sedia menawarkan bimbingan bagi membantu dan melatih para usahawan wanita untuk melebarkan perniagaan masing-masing ke peringkat global.

“Di SRW, kami memiliki kepakaran bagi membantu mengge­rakkan komuniti usahawan wani­ta daripada sekadar berniaga di luar talian ke dalam talian.

“Ahli-ahli DSW boleh memanfaatkan akses dan jaringan daripada akademi latihan yang dijalankan daripada aspek pe­ngurusan media sosial, pemasaran automatik, strategi perniagaan antarabangsa serta pembinaan jenama itu sendiri,” katanya.