Sandwic untuk sarapan pagi ini pada mulanya adalah perniagaan kakak sulung saya. Setelah kakak sulung saya berpindah ke luar negara, perniagaan ini terhenti buat seketika. Tidak lama kemudian, kakak kedua saya pula berhasrat untuk meneruskan perniagaan itu dan mengambil tempahan melalui media sosial.

Saya melihat perniagaan itu mendapat permintaan yang banyak dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Kesibukan mereka ke kelas menyukarkan untuk sarapan di bilik ataupun mencari makanan pada waktu pagi.

Saya mengambil peluang tersebut dengan berbincang bersama kakak untuk membuat sandwic sendiri. Jadi, dengan menggunakan jenama yang sama, iaitu Nad’s Sandwic, saya memulakan perniagaan tersebut.

Pada awalnya, saya memulakan perniagaan tanpa menggunakan sebarang modal iaitu hanya mengambil tempahan daripada rakan-rakan. Pada setiap pagi rakan sekelas atau pun daripada rakan media sosial akan menempah roti sandwic untuk sarapan pagi mereka.

Saya juga sentiasa memuat naik gambar-gambar jualan sandwic saya di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Daripada situ, mereka dapat tahu tentang perniagaan saya dan mula membuat tempahan untuk keesokan harinya.

Selain itu, saya juga sentiasa mendapat sokongan daripada rakan dalam kalangan usahawan muda di UPM. Saya membuat keputusan untuk membuat sandwic sendiri kerana mendapat sokongan, semangat dan bimbingan daripada rakan-rakan usahawan yang saya sertai di program Siswaprenuer Advance @ CEM UPM.

Program tersebut telah membangkitkan semangat saya dan juga rakan-rakan lain untuk menjalankan perniagaan sendiri. Fasilitator-fasilitator dan tenaga pengajar juga memberi semangat yang padu kepada kami.

Program ini banyak memberi saya ilmu bagaimana ingin meneruskan perniagaan yang kami sedia ada dan teori di dalam ilmu perniagaan. Kami diberi lapan modul yang begitu mantap isinya.

Daripada program Siswaprenuer Advance @ CEM ini jugalah saya telah menemui mentor, Dr. Fauziah Mahat, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Beliau telah memberi semangat kepada saya dan sentiasa membimbing untuk memajukan perniagaan. Dan pada setiap hari beliau tidak pernah lupa bertanyakan tentang kemajuan dalam perniagaan saya.

Sebagai usahawan, kita tidak akan pernah lari daripada cabaran. Kekuatan dalam diri adalah kunci utama untuk menghadapi segala cabaran yang datang. Di awal perniagaan, saya pernah mendapat hasil jualan yang tinggi untuk pertama kalinya.

Tiba-tiba semasa saya menjalankan penghantaran sandwic kepada pelanggan, saya telah disaman polis sebanyak RM150 kerana melakukan kesalahan tidak memakai tali pinggang.

Selepas kejadian itu, saya berasa sangat kecewa dengan diri saya dan terasa ingin berputus asa. Namun atas sokongan yang tidak putus-putus daripada keluarga, rakan-rakan, dan Fauziah sendiri membuatkan saya untuk tidak berputus asa dengan cabaran.

Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya yakin selepas kejadian tersebut saya mampu menjadi kuat dan pada masa yang sama saya dapat belajar daripada kesilapan diri sendiri.

Hanya dengan menyediakan sarapan pagi untuk warga UPM, saya dapat menjana pendapatan yang lumayan hasil titik peluh sendiri. Impian saya selepas ini adalah ingin memasarkan sandwic di seluruh kawasan Serdang supaya mereka yang sibuk di pagi hari tidak lupa untuk mengambil sarapan.

Saya berharap bidang keusahawanan yang saya ceburi ini dapat berkembang maju supaya dapat membantu orang lain untuk menjalani hidup mereka dengan selesa dan dapat memuaskan hati pelanggan dengan sandwic yang saya sediakan.

Saya juga berharap dapat menyelesaikan masalah mereka dengan menyediakan sandwic yang enak sebagai sarapan.

NUR NABILAH SHAHRUL NIZAM adalah pelajar tahun 2 Pendidikan Sains Rumah Tangga di Universiti Putra Malaysia