Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, hasrat kerajaan untuk melakukan perubahan ketika ini dilihat sebagai satu komitmen bagi memberikan layanan yang adil kepada kedua-dua belah pihak serta menjaga kepentingan masyarakat secara keseluruhan.

Katanya, Grab kekal komited dan sentiasa bersedia dalam apa jua kerjasama bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti.

"Kalau diteliti apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini adalah beliau menghargai semangat yang ditunjukkan rakyat untuk melakukan perubahan dan berlaku adil kepada semua orang.

"Salah satu perubahan yang diinginkan adalah memastikan setiap segmen dalam kalangan masyarakat terus terpelihara dan ia melibatkan komuniti teksi di negara ini," katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE