Passengers waiting for Grab car outside a shopping man in Kuala
 

Ketua Sumber Manusia Grab, Chin Yin Ong berkata, buat masa ini, kesemua pekerja Uber sedang dalam cuti berbayar.

Katanya, Grab akan mengadakan perbincangan dengan kesemua 500 pekerja Uber bagi melihat bagaimana mereka boleh menyertai kumpulan.

“Kami percaya bahawa pekerja Uber terdiri dalam kalangan individu yang berusaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka di Asia Tenggara sama seperti kakitangan Grab.

“Grab mengalu-alukan kedatangan mereka untuk bersatu di bawah kepimpinan operasi yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Uber dilaporkan bersetuju menjual operasi Asia Tenggara kepada pesaing­nya, Grab yang dijangka dapat memacu syarikat dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Ini adalah pencapaian terbesar bagi Grab, syarikat yang ditubuhkan kurang dari enam tahun lepas, ke arah mencapai matlamat untuk menjadi platform penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing (e-panggilan), fintech dan penghantaran makanan utama di Asia Tenggara.

Sebagai pulangan, Uber, aplikasi perkongsian kenderaan Amerika Syarikat (AS) itu akan memiliki pegangan sebanyak 27.5 peratus di dalam entiti gabungan berkenaan.

Sehingga kini, Grab te­lah menyediakan per­khid­matan kepada lebih 90 juta pengguna di Asia Tenggara dan memperkasa lebih daripada lima juta usahawan mikro terdiri daripada pemandu, peniaga dan ejen di seluruh rantau ini untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan.

Buat masa kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.grab.com.