Google juga bakal menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) untuk pusat data Denmark baharu bagi memastikan ia dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui (RE).

Menurut Google, pusat data baharu itu terletak di bandar kecil Fredericia melibatkan kos seba­nyak AS$689 juta (RM2.8 bilion) dan memerlukan 150 hingga 200 kakitangan apabila siap pada 2021.

“Kami sedang menilai pe­laburan dalam beberapa projek angin dan tenaga solar daratan dan luar pesisir di Denmark,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada September lalu, Google menandatangani perjanjian 10 tahun untuk membeli RE dari tiga ladang angin baharu yang sedang dibina di Finland bagi menyumbang tenaga kepada pusat data itu.

Negara-negara Nordic yang boleh menjana tenaga elektrik yang agak murah daripada sumber boleh diperbaharui seperti tenaga hidro dan angin sebelum ini kebiasaannya menarik perhatian industri berat.

Kali ini, negara itu menjadi tumpuan oleh pusat data.

Menurut kajian baharu yang diterbitkan oleh Majlis Menteri-Menteri Nordic, pelaburan tahunan pusat data Nordic berupaya merekodkan pertumbuhan le­bih AS$4.57 bilion (RM19.2 bi­lion) pada 2025.

Tahun lepas, jumlah PPA korporat baharu terutama angin dan solar mencapai rekod lebih daripada lima gigawatt (gW).

Syarikat-syarikat besar berebut mendapatkan RE yang murah untuk menguruskan kos dan mengurangkan jejak karbon mereka melalui PPA korporat yang membolehkan syarikat seperti Google, yang dimiliki oleh Alphabet Inc., Facebook dan Microsoft untuk membeli terus daripada penjana tenaga. – REUTERS