Ketua Pegawai Operasinya, Raymond Cheah berkata, syarikat kini berpotensi untuk mendapatkan hampir 20 projek perniagaan berkaitan teknologi hijau termasuk sebagai IPP menggunakan sisa sawit atau khidmat nasihat tenaga boleh diperbaharui.

Tambah beliau, pemilihan tiga negara itu dibuat kerana menawarkan sumber modal yang lebih banyak serta kemahiran pelabur-pelabur di tiga pasaran berkenaan di dalam industri teknologi hijau.

“Sasaran mendapatkan dana antara RM300 juta hingga RM400 juta merupakan sasaran terbesar syarikat. Selain itu, ia juga dilihat sebagai satu daripada langkah kami untuk keluar daripada pasar­an dengan menawarkan saham syarikat kepada pelabur-pelabur.

“Perbincangan juga telah diadakan dengan pengatur-pengatur pasaran untuk tujuan penyenaraian ini. Namun tawaran awam permulaan (IPO) merupakan rancangan kami untuk jangka sederhana dan panjang seiring dengan perkembangan syarikat,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan syarikat itu kepada pelabur di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeco­nomy), Adnan Baharum; Ketua Pegawai Eksekutif GLT, Chan Sow Keong dan Ketua Pegawai Operasi Propellar CrowdPlus Sdn. Bhd., Bryan Chung.

Dalam majlis memperkenalkan syarikat itu, GLT didaftarkan di laman web pencarian dana runcit atau crowdfunding iaitu CrowdPlus.Asia, untuk mendapatkan suntikan dana sehingga RM800,000. Dana itu untuk membiayai aktiviti pembelian tambahan kepentingan di dalam dua kilang biogas yang masing-masing berkapasiti satu Megawat (MW) terletak di Pahang.

Jelas Cheah, suntikan dana itu akan membolehkan GLT memiliki kepentingan sehingga 40 peratus di dalam kedua-dua kilang biogas menggunakan sisa sawit itu.