Bintang Kanada berusia 37 tahun itu berjaya mengelak daripada melakukan sebarang bogey, sekali gus menamatkan dua hari pertandingan dengan mengumpul lapan bawah par 138.

‘‘Permainan menjadi lebih mudah hari ini kerana tiupan angin tidak begitu kuat.

‘‘Saya agak gembira kerana semuanya berjalan dengan baik,’’ kata Weir.

Rakan senegara Weir, Stephen Ames mengekori rapat di tempat kedua dengan hanya ketinggalan satu pukulan selepas turut mencatat enam bawah par 67, terikat 139 pukulan bersama pemain Amerika Syarikat, Jonathan Byrd.

‘‘Saya rasa musim sejuk di Kanada agak buruk, jadi apabila pemain-pemain kami beraksi dalam cuaca baik di sini, mereka dapat memberikan aksi yang bagus.

‘‘Harap saya dan rakan-rakan yang lain dapat meneruskan permainan yang baik itu esok,’’ kata Weir.

Permainan Weir semalam adalah lebih baik berbanding aksinya pada hari pembukaan, yang mana dia mencatat 71 pukulan selepas melakukan lima birdie dan tiga bogey di lapangan 73 par itu.

Ames pula mengharungi hari kedua dengan tujuh birdie dan satu bogey sementara Byrd mencatat 69 pukulan dengan memperoleh lima birdie dan satu bogey.

Weir, juara Masters 2003 memulakan sembilan lubang pertama dengan mengumpul empat bawah par, termasuk mencatat eagle di par lima lubang sembilan.

Dia melebarkan kedudukan pendahulu selepas menambah dua lagi birdie pada sembilan lubang terakhir, di lubang 15 dan 18.

‘‘Sembilan lubang terakhir tidak begitu menggembirakan sehinggalah tiba di lubang 15, di mana saya melakukan dua pukulan yang baik untuk memperbaiki catatan,’’ kata Weir.

Sementara itu, penyandang juara, Vijay Singh dari Fiji hanya mampu terikat di tangga ke-17 selepas mencatat 70 pukulan semalam, dan mengumpul dua bawah par keseluruhan.

– AFP