LOGO ZHEIJIANG GEELY
LOGO ZHEIJIANG GEELY

Menurut laporan Bloomberg, Pengasas dan Pengerusi Geely, Li Shufu mengkritik pemilik Proton iaitu DRB-Hicom Bhd. kerana berkali-kali mengubah rancangan dan pendirian mereka.

“Mereka kerap mengubah rancangan, hari ini mereka mahu ini, esok pula mereka mahu itu. Mereka masih belum memutuskan apa yang mereka mahu,” kata Shufu dalam satu sesi wawancara di Beijing, semalam.

Geely adalah satu daripada dua pembida utama yang mahu mendapatkan kepentingan majoriti dalam Proton. Namun, tidak seperti PSA Group, syarikat itu tidak mengesahkan bidaannya secara terbuka.

Pencarian rakan strategik asing yang dilakukan oleh Proton tersebut adalah sebagai memenuhi syarat kerajaan ketika meluluskan dana pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion tahun lalu.

Bloomberg melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan seorang jurucakap syarikat pengeluar kenderaan itu enggan mengulas mengenai kenyataan Shufu.

DRB-Hicom sebelum ini telah mengumumkan bahawa pencarian rakan strategik Proton terbabit akan dimuktamadkan selewat-lewatnya bulan Jun ini. - UTUSAN ONLINE