Gear Up Bluetooth Pintar TPMS ditawarkan pada harga pengenalan iaitu RM385 seunit sehingga 30 Jun depan dan selepas itu harga jualan akan meningkat kepada RM430 untuk Semenanjung.

Pengarah Urusan Pero­dua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, produk tersebut adalah hasil inovasi tempatan dan didatangkan de­ngan jaminan selama enam bulan sama seperti aksesori Gear Up yang lain.

“Produk ini mengandungi empat sensor tayar dan satu alat pintar. Sensor tayar diletakkan di injap tayar dan akan menghantar maklumat melalui Bluetooth kepada alat pintar di dalam kenderaan.

“Alat pintar mempunyai empat lampu yang mewakili empat tayar. Jika tekanan kurang lapan peratus daripada jumlah yang disyorkan, ia akan me­ngeluarkan bunyi ‘beep’ dan lampu akan me­nyala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zahari, pengguna boleh muat turun aplikasi mudah alih FOBO Tire yang tersedia untuk iOS 7.1 dan Android 4.3 bagi mendapatkan maklumat masa nyata tekanan dan suhu tayar di telefon pintar.

Katanya, data akan disimpan dan boleh dipantau oleh pengguna lain seperti ahli keluarga semasa kenderaan tersebut sedang digunakan.

“Sensor tayar boleh dikunci menggunakan nat untuk mengelakkan kecurian.

Alat pintar yang terdapat dalam kenderaan dilengkapi sensor pergerakan yang mana akan memasuki mod tidur sekiranya tiada pergerakan dikesan.

“Maklumat masa nyata yang disediakan membantu memanjangkan jangka hayat tayar, menjimatkan penggunaan minyak dan memastikan keselamatan kenderaan secara keseluruhan,” kata beliau.

Sensor tayar menggunakan sel bateri butang manakala alat pintar dikuasakan oleh dua bateri bersaiz AA.