CHEAH HAM CHEIA
CHEAH HAM CHEIA

Pengarah Urusan GDB, Cheah Ham Cheia berkata, penyenaraian itu akan meningkatkan profil GDB, mengembangkan kapasiti sedia ada dan melebarkan perkhidmatan kepada segmen bangunan lain seperti hospital, sekolah, universiti, hotel dan pusat konvensyen.

“Sebahagian daripada hasil IPO ini akan diperuntukkan untuk membeli jentera dan peralatan baharu, bertujuan meningkatkan keupayaan GDB dalam melaksanakan lebih banyak projek dan pada masa sama menguruskan pembinaan dengan lebih baik.

“Kami juga merancang untuk meneroka perkhidmatan pembinaan sivil dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, dengan rancangan me­nubuhkan sebuah pasukan projek infrastruktur dalam masa 12 bulan selepas disenaraikan,” katanya dalam majlis pelancaran prospektus GDB di sini hari ini.

Turut hadir, Penge­rusi Bukan Eksekutif Bebas GDB, Tan Sri Ir. Zaini Omar; Ke­tua Pegawai Eksekutif Alliance Investment Bank Bhd., R. Mahesh; Pe­ngarah Eksekutif GDB, Alexander Lo Tzone Leong dan Cheah Jun Kai serta Ketua Pegawai Kewangan GDB, Toh Fong Eng.

GDB memperuntukkan seba­nyak RM24.67 juta bagi perbelanjaan modal me­rangkumi RM8.67 juta untuk pembelian jentera dan peralatan pembinaan, RM8 juta bagi pejabat baharu serta RM8 juta lagi untuk pembe­lian tanah yang dijadikan stor simpanan kelengkapan.

Selain itu, sebanyak RM15.58 juta diperuntukkan bagi modal kerja terdiri daripada pembayaran kepada pembekal dan subkontraktor bernilai RM14.9 juta dan RM680,000 bagi gaji pekerja serta perbelanjaan penyenaraian berjumlah RM3.5 juta.

Ham Cheia berkata, cadangan IPO GDB akan melibatkan terbitan sebanyak 125 juta saham baharu pada harga 35 sen sesaham.

“Daripada angka itu, sebanyak 12.5 juta saham dibuka kepada orang awam, 15 juta saham boleh dimohon oleh pengarah, kakitangan dan orang awam yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, 25.6 juta saham tersedia melalui penempatan persendirian kepada pelabur yang telah dikenal pasti, serta 71.9 juta lagi kepada pelabur bumiputera.

“Selain itu, terdapat juga tawaran penjualan sebanyak 37.5 juta saham sedia ada juga melalui penempatan persendirian kepada pelabur yang telah dikenal pasti,” katanya.

Setakat hari ini, buku tempahan GDB berada pada RM855 juta merangkumi projek Westside III di Desa ParkCity, Etiqa Office Tower di Jalan Bangsar, AIRA Residence di Damansara Heights dan Menara Hap Seng 3 di pusat bandar di sini.