Bagi Gamuda Gardens, pelan utama pemaju hartanah itu adalah untuk membangunkan sebuah destinasi gaya hidup berdasarkan kualiti keindahan suasana semula jadi daripada reka bentuk muka bumi dan pemandangan yang mempersonakan.

Projek pembangunan bercampur seluas 327.8 hektar itu akan menyediakan sebuah bandar satelit lengkap de­ngan kemudahan gaya hidup moden seperti kediaman, hab komersial, ruang runcit serta air terjun pada taman seluas 20 hektar.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM10.1 bilion, projek selama 15 tahun terletak di utara Sungai Buloh itu akan menampilkan lima taman tasik berbeza dengan pelbagai pilihan kediaman memenuhi segmen pasaran berbeza.

Gamuda Land merancang melancarkan keseluruhan lima fasa pembangunan Gamuda Gardens tahun ini dengan fasa pertama melibatkan sebanyak 300 unit kediaman teres dua tingkat bersaiz 1,980 hingga 2,279 kaki persegi pada harga bermula RM675,000.

Pengarah Arkitek Broadway Malyan selaku pereka projek itu, Ernesto J. A. Zabarte berkata, landskap Gamuda Gardens direka bagi memastikan kemapanan jangka panjang untuk menampung keluarga dari generasi ke satu generasi.

“Landskap ini diilhamkan daripada taman-taman klasik di England dengan prinsip memelihara ekosistem, serta mewujudkan sebuah lokasi yang menggalakkan orang ramai untuk meneroka dan menjalankan aktiviti di luar rumah bersama keluarga atau rakan.

“Selain kafe, Gamuda Gardens akan dilengkapi kemuda­han lain seperti klinik, bank, salun, rumah kelab, kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton dan dewan bankuet,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Zabarte, projek itu juga terletak pada lokasi strategik dengan hanya lima minit pemanduan daripada Lebuh Raya Guthrie, Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) dan Le­buhraya Utara Selatan (PLUS) menghubungkan pusat bandar.

Selain itu katanya, sebuah pusat komersial da­lam pembangunan itu juga dijangka meng­hasilkan sekitar 31,000 peluang pekerjaan sekali gus menghasilkan sebuah pusat bandar di kawasan terbabit.

“Akses sambungan yang mudah dan infrastruktur kemudahan bertaraf dunia akan menarik minat syarikat tempatan dan antarabangsa, seterusnya merangsang pertumbuhan kawasan utara Selangor itu pada masa depan,” katanya.