Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid berkata, antara masalah dihadapi adalah sistem e-pembayaran dan penghantaran barangan dibeli yang tidak selaras dalam kalangan negara-negara anggota.

Katanya, Vietnam misalnya mempunyai kawalan mata wang asing yang secara tidak langsung menyukarkan proses untuk melaksanakan e-pembayaran dengan negara-negara ASEAN.

“Penggunaan ASEAN Minus X justeru membolehkan negara yang sudah bersedia menggunakan perkhidmatan e-pembayaran terlebih dahulu tanpa menunggu negara yang masih tidak bersedia ke arah itu.

“Empat sektor diberi penekanan dalam mengurangkan halangan adalah penerbangan, peruncitan, makanan dan logistik,” katanya kepada pemberita sempena majlis pelancaran Laporan Mengurangkan Halangan (LTB) 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Prinsipal A.T. Kearney, Olivier Gergele; Presiden Pertubuhan Pelancongan ASEAN, Aileen Clemente; Naib Presiden Kanan Penjagaan Kesihatan Frost & Sullivan, Rhenu Bhuller dan Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur, Dr. Fauziah Zen.

Laporan bertemakan `Jalan ke Integrasi ASEAN’ itu menandakan fasa ketiga inisiatif LTB pada tahun ini dengan mengumpul input daripada pelbagai pemimpin korporat serantau dalam enam sektor perniagaan penting kepada pertumbuhan ASEAN.

Inisiatif LTB merupakan usaha sukarela oleh pemain industri ASEAN secara proaktif mencari penyelesaian pragmatik bagi perdagangan lebih bebas untuk menyokong agenda integrasi ASEAN pada 2015.

Sementara itu, Gergele berkata, laporan LTB menjelaskan kepen­tingan inovasi peruncitan untuk mengembangkan lagi pertumbuhan industri itu terhadap rantau ASEAN.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan baharu seperti e-dagang dapat memacu pengalaman pengguna seterusnya memacu segmen peruncitan.