Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2018, kumpulan berjaya merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM27.9 juta dan perolehan sebanyak RM210.9 juta.

Beliau berkata, memandangkan ini adalah laporan kewangan interim pertama kumpulan sebagai mematuhi keperluan penyenaraian, tidak ada perbandingan kepada suku tahun dan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Kumpulan terus memantapkan prospek dengan jumlah buku tempahan bernilai RM600 juta setakat 15 November 2018, di samping itu kami juga berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang dalam industri pembinaan dan kini sedang mengemukakan pelbagai tender untuk kerja-kerja awam dan swasta.

“Kami juga menjangkakan segmen pengurusan dan utiliti kemudahan kekal sebagai asas pendapatan berulang bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2018 (FY18),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE