Melalui kerjasama itu, pelanggan Funding Societies mempunyai pilihan untuk melakukan pembayaran balik menggunakan sistem debit langsung dalam talian Curlec yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga mengurangkan proses yang kompleks.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies, Wong Kah Meng, integrasi sistem tersebut akan membolehkan proses pembayaran balik secara automatik sekali gus mempercekapkan serta mengurangkan masa proses pembayaran balik dana.

Jelas Kah Meng, sistem ini berbeza dengan kaedah pembayaran balik sedia ada yang memerlukan perisian yang tidak cekap serta ramai tenaga kerja untuk menguruskan proses bagi operasi tersebut.

“Kami berharap proses yang cekap serta praktikal ini akan turut meningkat mutu pengalaman guna pelanggan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menerangkan lebih lanjut, Kah Meng memberitahu sistem debit langsung Curlec menjimatkan kos dan memudahkan kerumitan operasi pembayaran balik pendanaan bulanan pelanggan.

Funding Societies adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan untuk menghubungkan pelanggan PKS dengan pelabur.

Pelaburan yang diuruskan syarikat berkenaan memberikan pulangan sehingga setinggi 14 peratus kepada pelabur, lebih baik berbanding simpanan tetap, bon dan kaedah pelaburan yang lain.

Melalui proses permohonan dalam talian ringkas tanpa cagaran yang disediakan oleh perkhidmatan ini, pelanggan PKS berpeluang mendapat pembiayaan modal sehingga RM500,000 bagi pengembangan perniaagaan masing-masing.

Funding Societies juga mejalankan operasi di Singapura dan Indonesia dibawah jenama Modalku dan di peringkat serantau, telah mengagihkan sejumlah RM560 juta pembiayaan PKS melalui lebih 5,770 perjanjian.

Kah Meng turut memaklumkan, dengan teknologi automasi Curlec tersebut, pihaknya dijangka mampu mencapai sasaran pembiayaan PKS berjumlah RM50 juta untuk tahun ini. - UTUSAN ONLINE