Irwan shah zainal abidin
Irwan shah zainal abidin

Perkongsian tersebut juga akan membolehkan Proton bersaing dengan pengeluar kereta terkemuka seperti Honda, Toyota dan sebagainya.

Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, Proton tidak mempunyai pilihan selain melakukan satu anjakan paradigma dari segi pengurusan syarikat memandangkan populasi negara yang terhad kepada 30 juta orang, tidak dapat memberi skala ekonomi untuk Proton bersaing di peringkat antarabangsa.

Menerusi usaha sama dengan rakan strategik asing (FSP), beliau berkata, Proton bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran dan jumlah jualan, malah turut mampu mengembangkan bahagian pasarannya.

“Sudah tiba masanya Proton perlu mencari rakan kongsi supaya mereka boleh bersama-sama membina kapasiti dan tidak bergantung kepada kerajaan pada masa hadapan,” katanya dalam satu temu bual hari ini.

Bahagian pasaran Proton jatuh mendadak kepada hanya 14 peratus kini berbanding 63-64 peratus pada tahun 1990-an.

Irwan Shah yang juga Pensyarah Jabatan Ekonomi UUM berkata, usaha sama tersebut juga memberikan kelebihan kepada FSP yang berhasrat untuk menjadikan kilang Proton sebagai pangkalan bagi menembusi pasaran ASEAN.

Ini bakal menguntungkan Pro­ton menerusi pemindahan teknologi yang memberi nilai tambah kepada vendor-vendor tempatan dari segi kepakaran pengurusan jurutera tempatan.

“Kita mungkin boleh mempelajari kemahiran pengurusan dan budaya kerja mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti Proton pada masa depan,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, Irwan Shah berkata, usaha sama Proton-FSP dilihat mampu menye­lamatkan ekosistem vendor Pro­ton memandangkan permin­taan bagi komponen kenderaan syarikat itu susut dengan ketara, susulan jumlah jualan yang terlalu rendah berbanding sasaran.

“Jadi, kalau kita tidak ada usaha sama dengan FSP, kemungkinan operasi vendor ini akan terhenti kerana sasaran jualan yang telah pun ditetapkan tidak tercapai. FSP akan menambah pelaburan dalam Proton, meningkatkan aktiviti vendor-vendor Proton serta menjana pekerjaan,” katanya.

Irwan Shah berkata, sekiranya kapasiti kilang Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam disatukan, pengeluaran akan meningkat kepada 400,000 unit, sekali gus membolehkan Proton meneroka pasaran lebih luas seperti yang terdapat dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) melibatkan jumlah penduduk le­bih tiga bilion. – BERNAMA