Fresh Grocer yang dimiliki oleh Armani Venture Sdn. Bhd. telah dibuka sejak 31 Disember 2016 terletak di Amber Plaza 3A, Jalan Jelawat 1, Cheras.

Pengarah Fresh Grocer, Sreedran Sankaran berkata, barang basah seperti ikan, daging, ayam dan sayur dijual pada harga lebih murah daripada nilai pasaran semasa yang merupakan antara strategi pasar raya untuk kekal relevan.

Katanya, Fresh Grocer sering kali mengadakan promosi dan dalam masa yang sama menghargai 5,000 ahli yang berdaftar untuk membolehkan mereka mengumpul lebih banyak mata ganjaran.

“Kami juga akan mengadakan Promosi Tengah Malam pada 31 Mac ini (pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam) menawarkan barangan seperti ayam berharga RM4.99 sekilogram dan ikan cencaru berharga RM0.59 setiap ekor.

“Promosi ini sesuai buat pengguna kini yang semakin bijak mencari pilihan dan membuat perbandingan harga barang supaya dapat membeli pada harga yang berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain barang keperluan hari­an, Fresh Grocer turut menawarkan Zon Jimat yang menjual lebih 4,000 produk dengan hanya RM2.12 sahaja di tingkat dua pasar raya berkenaan.

Dalam pada itu, Fresh Grocer turut menawarkan peluang perniagaan buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat meletakkan produk mereka di pasar raya itu.

Mengenai pelan jangka panjang, Sreedran berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 15 cawangan Fresh Grocer dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, cawangan kedua akan dibuka di Tanjung Karang, Kuala Selangor selewat-lewatnya Ogos ini membabitkan pelaburan kira-kira RM10 juta.

“Cawangan di Tanjung Karang akan mempunyai konsep yang sama di Cheras dan cawangan baharu yang akan datang bakal dibuka di luar Lembah Klang,” katanya,