Pengasas dan Pengarah Kreatifnya, Francisca Turner Shaik berkata, Frankitas mempunyai kehadiran yang kukuh di Malaysia dan Singapura, serta saluran pengedaran di Thailand, Maldives, Indonesia, Jepun dan Switzerland.

“Frankitas berada di Tangs, Singapura, rakan kongsi pengedaran di San Francisco, Switzerland, Tokyo dan Bali serta pelbagai resort mewah seperti St Regis, Empat musim, Banyan Tree Group dan Velassaru Maldives Resort.

“Bagi saya, pengguna di luar negara seperti Eropah sangat tertarik dengan produk Frankitas yang kaya dengan adat dan warisan. Ia adalah kunci kejayaan jenama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Koleksi Frankitas berasal daripada tekstil etnik tradisional yang kaya dengan elemen warisan digabungkan bersama dengan warna dan reka bentuk kontemporari sekali gus menghasilkan produk gaya hidup yang menarik.

Menggunakan kemahiran buatan tangan daripada tukang seni berasal dari Indonesia, Malaysia, India, Afrika dan Asia Tengah, Frankitas menggunakan motif tradisional seperti Ikat, Batik, Songket dan Tenun Rangrang.

Sehingga hari ini, Frankitas mempunyai sebanyak 15 jenis bag dan pelbagai aksesori serta perhiasan rumah seperti subang, selendang, rantai, gelang, permaidani dan sarung yang semuanya diberi sentuhan tekstil tradisional.

Frankitas adalah kombinasi nama Francisca sendiri iaitu Franki dan Tas yang membawa maksud beg dalam kamus Indonesia, diasaskan pada 2014 dengan tujuan mengetengahkan adat dan warisan seni tradisional buatan tangan.

Menurut Francisca, Frankitas merekodkan pertumbuhan dua digit atau lebih 30 peratus setiap tahun sejak tiga tahun lalu kerana sambutan hebat peminat yang menghargai cerita di sebalik setiap produk yang dihasilkan.

“Ia bukan sekadar tekstil, pengguna tertarik dengan warna, motif dan juga cerita tentang asal usul kain yang digunakan. Jadi, kami bukan sahaja menjual produk, tetapi juga menjadi pencerita kepada orang ramai.