Pengarah Urusan Fonterra Ma­laysia dan Singapura, Jose Miguel berkata, syarikat melihat Arab Saudi menawarkan potensi yang luas seiring dengan produk keluarannya yang memiliki persijilan halal.

Katanya, Fonterra dalam tempoh beberapa bulan lalu telah mengeksport produk yang dihasilkan di kilang pembuatan iaitu Dairymas dan Susumas di Shah Alam ke Qatar.

Jelas beliau, kilang Susumas mengimport susu dari New Zealand, yang melakukan proses mengadun dan membungkus susu tepung manakala Dairymas dibina untuk menghasilkan produk cecair seperti yogurt dan produk tenusu UHT.

“Fonterra mengeksport ke 13 negara di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat termasuk Filipina, Vietnam, Singapura, Thailand, Mauritius dan Hong Kong.

“Bagi memenuhi permintaan untuk pasaran Malaysia dan eksport, syarikat telah melabur sebanyak RM20 juta pada tahun kewangan 2017 untuk meningkatkan kapasiti kilang Susumas dan Dairymas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kilang pembuatan Fonterra iaitu Dairymas dan Susumas di Shah Alam menampung keperluan eksport ke Filipina, Indonesia, Vietnam, Hong Kong, Singapura dan Bangladesh.

Fonterra adalah syarikat glo­bal milik kopera­si New Zealand menghasilkan pelbagai segmen produk tenusu di bawah jenama antara lainnya, Anlene, Anmum, Fernleaf CalciYum, produk tenusu Anchor dan keju Chesdale.

Menurut Kementerian Perda­gangan Antarabangsa dan Industri (MITI), perdagangan dua hala Malaysia-New Zealand mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus tahun ini dipacu oleh hubungan diplomatik yang erat antara ke­dua-dua negara.

Sejak 60 tahun lepas ujar­nya, Malaysia telah berkembang menjadi antara pasaran eksport New Zealand paling pesat berkembang dan kini pasaran eksport kesembilan terbesar yang bernilai kira-kira NZ$1.17 bilion (RM3.42 bilion).

Eksport utama ke Malaysia termasuklah susu tepung, mentega, produk daging dan buah-buahan serta sayur-sayuran.