Pengurus Hal Ehwal Koperasi Fonterra Brands (Malaysia), Manisya Ismail berkata, dengan mengamalkan konsep berkenaan, tidak bermakna syarikat hanya menyasarkan pengguna Islam tetapi juga yang lain.

“Halalan toyibban tidak ha­nya bermakna produk kami bebas daripada alkohol dan daging khin­zir, tetapi kami menyediakan produk-produk dalam kualiti yang baik terutamanya bersih dan selamat untuk pelanggan kami,” katanya kepada Bernama.

Manisya berkata, selepas penubuhan syarikat di Malaysia sejak 40 tahun lalu, Fonterra telah mendapat kepercayaan pelanggan untuk membekalkan produk-produk berkualiti pada harga yang berpatutan dan tiada kompromi pada rasa.

Sebagai contoh, beliau berkata, satu daripada jenama terkenal Fonterra, Anmum Essential, susu tepung yang dirumus untuk pertumbuhan kanak-kanak, “tidak mempunyai gula tambahan kerana syarikat berpendapat ia merupakan langkah yang betul”.

Beliau berkata, minuman kul­tur keluaran syarikat, CalciYum pula tidak menggunakan sebarang pewarna tiruan untuk mengelakkan sebarang kesan negatif kepada kanak-kanak dalam jangka masa panjang.

“Terdapat satu kajian yang menunjukkan pewarna makanan boleh menyebabkan beberapa keburukan seperti reaksi alahan dan hiperaktif hinggalah kanser dan kami di Fonterra amat menentangnya,” kata beliau.

Manisya berkata, walaupun syarikat tidak mempunyai peruntukan khusus bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan mengenai halal, seluruh orga­nisasi daripada pihak pengurusan hingga kepada pengeluaran barangan melaksanakan amalan halal secara menyeluruh.

“Malah pekerja bukan Islam kami sangat kerjasama dan tidak membawa apa-apa makanan tidak halal ke dalam bangunan,” katanya.

Fonterra komited untuk mela­bur RM20 juta bagi operasi pengeluarannya di Malaysia pada tahun ini, yang antara lain dalam kese­lamatan dan kualiti makanan, serta meningkatkan kecekapan pengeluaran di kilang tenusu Susumas di Shah Alam.

Syarikat itu menubuhkan kemudahan pembuatannya yang pertama di Malaysia, Susumas, pada 1992 dan kedua, Dairymas pada 1999.