Syarikat kaca mata tempatan itu setakat ini mempunyai sebanyak 162 buah cawangan de­ngan tujuh daripadanya di Brunei dan bakinya di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point, Datuk C. L. Liaw berkata, pasaran-pasaran yang ingin diteroka itu termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina.

“Kami berada di Malaysia sudah hampir 30 tahun dan juga boleh didapati di setiap penjuru hampir semua pusat beli-belah utama di negara ini.

“Jadi, kami fikir ini adalah masa yang paling sesuai untuk kami meneroka pasaran ASEAN yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Focus Point bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun depan selepas me­nubuhkan cawangan pertama­nya di Muar, Johor pada tahun 1989.

Syarikat itu sehingga kini telah berkembang dan menjadi pemimpin dalam industri optikal di Malaysia.

Ia turut menawarkan pelbagai jenis cawangan runcit konsep untuk memberikan pengalaman unik dan memenuhi keperluan berbeza pelanggan mengikut umur.

Konsep-konsepnya termasuk Focus Point, Focus Point Signature, Focus Point Concept Store, Opulence, Whoosh, Eyefont, Ray-Ban dan Optical City.

Liaw berkata, rancangan untuk berkembang di ASEAN itu mengambil kira statistik gejala myopia atau rabun jauh yang semakin meningkat di ASEAN.

“Dengan bilangan penduduk yang mencecah hampir 640 juta, peningkatan statistik ini adalah sangat membimbangkan ter­utama buat kanak-kanak kecil.

“Jadi, kami di Focus Point ingin meningkatkan kesedaran dan pada masa sama mengembangkan perniagaan ini yang sangat berpotensi besar ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu menjual sekitar 26,000 hingga 30,000 pasang kaca mata dalam tempoh sebulan untuk semua segmen termasuk mampu milik atau mewah.

“Kami sebenarnya ingin menggalakkan orang ramai untuk memiliki lebih daripada sepasang kaca mata kerana zaman telah berubah dan tidak seperti dulu.

“Ini kerana kaca mata kini lebih murah dan menjadi aksesori fesyen orang ramai, mereka boleh pakai kaca mata berlainan di pelbagai acara,” katanya.