Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan SD Plantation, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dalam kenyataannya berkata, penarafan yang diberikan Fitch adalah bukti syarikat berusaha gigih untuk menjadi pakar minyak kelapa sawit dan lemak yang dipercayai dengan memberi tumpuan kepada produk bernilai tinggi untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“SD Plantation akan mencari peluang untuk meneroka dan meningkatkan kehadirannya di pasaran utama lain di Asia Tenggara, Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Timur Tengah.

“Melalui inisiatif ini, SD Plantation menyasarkan operasi hilirannya untuk menyumbang lebih da­­ripada 20 peratus daripada Ke­­untungan Sebelum Faedah dan Cukai (PBIT) dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, para pelabur melihat SD Plantation sebagai sebuah syarikat pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, dan menyumbang lebih daripada 20 peratus daripada pengeluaran minyak kelapa sawit lestari (CSPO) yang disahkan global.

Sebanyak 97 peratus daripada tiga juta tan metrik (MT) mi­nyak kelapa sawit yang dihasilkan se­tiap tahun disahkan oleh Rundingan Meja Bulat Mi­nyak Sawit Les­tari (RSPO).

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Jeffri Salim Davidson berkata, berikutan penyenaraian kedua-dua syarikat subsidiarinya, Sime Darby akan terus memberi tum­puan kepada Bahagian Automotif dan Industri, dan merancang untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam sektor berkenaan di rantau Asia Pasifik.

“Kami berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk memanfaatkan kekuatan utama kami, terutamanya, kunci kira-kira kami yang kukuh, jangkauan geografi dan kedudukan kepimpinan dalam kedua-dua sektor,” katanya.

Fitch Ratings dalam kenyataannya sebelum ini berkata, berikutan pengasingan perniagaan hartanah dan perniagaan perladangannya, Sime Darby akan menjadi sebuah syarikat yang lebih kecil yang memberi tumpuan kepada sektor peralatan automotif dan perindustrian.

Katanya, penstrukturan semula hutang kumpulan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada pemisahan SD Plantation daripada Sime Darby adalah selaras dengan jangkaan Fitch.

“Berikutan penstrukturan semula hutang kumpulan yang menyeluruh pada September 2017, Sime Darby kini mempunyai hutang berjumlah hanya RM2.8 bi­lion dengan nisbah hutang kepada ekuiti yang lebih rendah sebanyak 18 peratus,” katanya.

Daripada keseluruhan hutangnya berjumlah RM2.8 bilion, RM547 juta adalah jangka panjang dan selebihnya adalah jangka pendek.

Syarikat itu mencatatkan aliran tunai operasi yang kukuh seba­nyak RM1.5 bilion pada tahun kewangan 2017.