Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Standard Chartered, Cheri McGuire berkata, fintech kini semakin mendapat perhatian di mana-mana sahaja kerana ia sememangnya bagus untuk pihak bank bergerak dengan pantas se­i­ring dengan kemajuan teknologi terkini.

Walau bagaimanapun katanya, dalam masa sama, aspek keselamatan teknologi maklumat (IT) perlu diberi keutamaan dan jaminan sewaktu proses pembangunan kod dan mengurus maklumat para pelanggan.

Menurut beliau, pihaknya me­rancang untuk menambah kira-kira 10 peratus tenaga kerja unit ke­selamatan maklumat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Standard Chartered bekerjasama dengan beberapa rakan kerjasama fintech memfokuskan kepada beberapa segmen seperti blockchain, pembangunan kod secara selamat dan skala keselamatan.

“Skala keselamatan meliputi kesedaran dalam kalangan orga­nisasi serta para pelanggan,” katanya dalam sesi perbincangan panel bertajuk ‘Penambahbaikan Kesedaran Keselamatan IT Dalam Kalangan Organisasi’ di sini hari ini.

Sesi perbincangan tersebut merupakan sebahagian daripada acara sempena Festival FinTech yang diadakan di Dewan Expo Singapura bermula semalam hingga 17 November ini.

Standard Chartered merupakan Penaja Emas Festival FinTech anjuran Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank Singapura (ABS) dan SingEx Holdings.

Festival FinTech dihadiri lebih 25,000 peserta dalam kalangan syarikat permulaan, pelabur, institusi kewangan dan agensi kerajaan dari lebih 100 negara.

Festival berkenaan membincangkan topik-topik berkaitan seperti analitik data dan sekuriti siber serta menggalakkan kerjasama terbuka dengan komuniti fintech. – UTUSAN