Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung termasuk dari Johor, Pahang dan Sarawak mula membanjiri FIM 2017.

Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohd. Rithauddin Abd. Aziz berkata, FIM bertindak sebagai platform kepada orang ramai untuk berkongsi maklumat tentang produk dan perkhidmatan francais.

“Tahun demi tahun kami sentiasa mencari perubahan agar pameran ini lebih relevan dan dite­rima oleh masyarakat dan pemain industri, selain penawaran elemen baharu iaitu sesi pemadanan perniagaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rithauddin, sejumlah 90 ruang pameran habis diisi oleh 72 syarikat dari dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Australia, China, Indonesia, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, sebanyak 47 buah syarikat tempatan mengisi sebahagian besar atau 70 peratus ruang pameran, sementara 25 syarikat antarabangsa dari 10 negara lagi mengisi baki 30 peratus ruang pameran disediakan.

“Antara jenama tempatan yang mempamerkan produk dan perkhidmatan pada acara itu ialah The Manhattan Fish Market, Cleanpro, Ar-Rahnu X’Change, Teh Tarik Place, Smart Reader Kids, Daily Fresh, Laundry Bar, Coolblog dan Marrybrown.

“Sementara itu, jenama antarabangsa pula termasuk Avon, Gloria Jeans Coffee, Hokkido, Smart Brain, Caramel Tree English, ThaiExpress, Island Shop, Mom’s Touch, Doner And Gyros, Eye Level, Edumarking dan Little Sheep,” katanya.

FIM 2017 merupakan peng­anjuran kali ke-24 sejak pameran itu mula diperkenalkan pada tahun 1992 hasil usahasama antara MFA dan Kementerian Perda­gangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).