Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, satu perbincangan dengan kerajaan Indonesia telah diadakan bagi menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk mengenalpasti tapak kawasan pembangunan ekonomi khusus tersebut.

“Kita juga akan membuat penilaian lanjut berhubung peranan Felda, nilai pelaburan dan yang berkaitan dengannya,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas mengenai projek pembangunan itu, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah.

Menurutnya, FGV yang diiktiraf oleh Indonesia dari segi kepakarannya dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan khususnya berkaitan industri kelapa sawit akan memberi sumbangan kepakaran bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan Rajawali Group di Indonesia untuk mewujudkan kawasan industri khusus berkaitan kelapa sawit.

Beliau berkata, FGV juga melalui syarikat usahasama tersebut akan diberi tanggungjawab membangunkan sebuah hub industri hiliran kelapa sawit itu dan kemudian menjadi peneraju utama termasuk membantu pemasaran dan sebagainya.

Kerajaan Indonesia kini sedang dalam proses membuat penilaian bagi memilih satu daripada lima kawasan yang berpotensi untuk projek berkenaan.

Kawasan-kawasan tersebut ialah di Balikpapan Kalimanta, Surabaya, Papua, Jayapura dan Dumai. Kawasan pilihan tersebut perlu mempunyai kemudahan seperti pelabuhan dan lapangan terbang.

“Pasukan bertindak sedang mengenalpasti kawasan yang boleh dijadikan Kawasan Pembangunan Ekonomi Khusus itu dan kita menjangkakan projek itu menjadi realiti dalam tempoh 18 bulan lagi. Jika menjadi kenyataan, ia adalah satu-satunya kawasan seumpama itu di dunia,” katanya.

Menurut Razali, apabila siap kelak, Indonesia akan bergabung kepakaran dengan Malaysia untuk menjadi hub industri kelapa sawit dunia di negaranya. Katanya, penglibatan FGV merupakan pengiktirafan kepada negara yang mempunyai kepakaran dalam industri hiliran kelapa sawit.

Malaysia dan Indonesia menguasai 85 peratus pengeluaran kepala sawit dunia dan sebelum ini kedua-dua negara bertindak secara persendirian untuk membangunkan industri berkaitan kelapa sawit.

Sementara itu, Penasihat Menteri Koodinasi Perekonomian Indonesia, Lin Che Wei berkata, sebelum ini republik itu hanya menumpukan penghasilan buah kelapa sawit untuk dieksport dan kemudiannya mengimport produk-produk hasil kelapa sawit itu sendiri.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat, Indonesia tidak perlu bersaing dengan Malaysia dalam industri kelapa sawit, sebaliknya berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi mewujudkan sebuah kawasan khas yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan industri kelapa sawit.

“Kita belum menguasai bidang-bidang yang jauh lebih banyak untuk kepentingan bangsa. Kita perlu berubah dan mengambil kesempatan dimana Indonesia harus mencipta produk unggulan dan membentuk suatu kesempatan bersama,” katanya. – UTUSAN