Menerusi loji pe­nyahairan bio itu, kilang minyak sawit Pontian Fico milik PUP dapat menghapuskan sisa pepejal daripada efluennya, manakala loji tapisan pula mampu meningkatkan tapisan air kumbahan untuk mencapai had di bawah 20 bahagian perjuta (ppm) bagi keperluan oksigen biologi (BOD) yang juga keperluan mandatori Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk kilang terletak di sekitar sungai Kinabatangan, Sabah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zakaria Arshad berkata, FGV akan terus berusaha untuk melindungi alam sekitar terutama di sekitar ladang dan aset-asetnya melalui amalan pertanian dan pengurusan terbaik.

Katanya, penubuhan dua loji tersebut mencerminkan komitmen tinggi FGV dalam memastikan kualiti air yang bersih dan selamat dikekalkan di ladang-ladang tanpa memberikan sebarang kesan buruk kepada sungai.

“Pihak pengurusan menyedari ke­san-kesan yang boleh menjejaskan biodiversiti di sekitar PUP, terutama Sungai Kinabatangan yang merupakan tempat pelindungan untuk hidupan liar dan juga ter­kenal dengan kekayaan flora dan fauna.

“Air yang ditapis dari loji ini kemudiannya akan disalurkan melalui sistem pengairan ke ladang terutamanya pada musim kemarau. Kami juga menggunakan sisa pepejal yang dihasilkan dari loji penyahairan ini sebagai baja organik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

FGV turut menandatangani projek selama lima tahun dengan Borneo Conservation Trust (BCT) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk membangunkan koridor biodiversiti mega di Lembah Hilir Kinabatangan iaitu program pemeliharaan rizab riparian untuk perlindungan hidupan liar dan alam sekitar.

Sementara itu, Zakaria juga melancarkan bangunan baharu, pusat pembelajaran Humana untuk anak-anak pekerja asing di PUP dalam memastikan mereka menerima pendidikan sewajarnya walaupun berada di kawasan terpencil jauh dari bandar.

“FGV mengambil berat terhadap kebajikan semua pekerjanya serta turut komited menyediakan kemudahan-kemudahan yang lebih baik di ladang-ladang milik kumpulan.

“Selain perumahan, kemudahan perubatan, kawasan sukan dan rekreasi serta tempat-tempat ibadat, FGV juga memperuntukkan sejumlah dana untuk membina bangunan baharu sebagai pusat pembelajaran anak-anak pekerja untuk belajar dalam persekitaran yang kondusif,” ujarnya.