Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, syarikat terbabit sentiasa memperoleh keuntungan pada setiap tahun cuma bukan dalam jumlah yang besar memandang­kan 80 peratus daripada pendapatannya adalah sumber perladangan.

Jelasnya, disebabkan bergantung kepada sumber perlada­ngan yang mana harga komoditi mengalami penurunan dan kenaikan tidak menentu, maka sukar bagi syarikat itu untuk mendapat keuntungan tinggi.

“FGV sejak penubuhan pada 2012, tidak pernah rugi cuma keuntungan diperoleh tidak besar disebabkan pendapatannya adalah 80 peratus daripada hasil perladangan, manakala 20 peratus lagi sumber lain.

“Harga komoditi bergantung kepada kenaikan dan penurunan disebabkan kadangkala berlaku bencana alam seperti banjir dan El Nino pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita di majlis Program Ramah Mesra di Masjid Darul Ibadah, Kampung Stoh di Lundu, dekat sini hari ini.

Mohd. Isa dilantik Pengerusi FGV selepas jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ta­nah Persekutuan (Felda) ber­akhir pada 6 Januari lalu.

FGV mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 dan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

FGV adalah syarikat ketiga kelapa sawit terbesar di dunia mengikut keluasan tanaman. Di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah merangkumi 500,000 hektar dan secara kasar ia menyewa dan menguruskan 112,635 pekebun kecil Felda.

Mengulas lanjut, Mohd. Isa berkata, setakat ini, keuntungan syarikat tersebut semakin bertambah baik dan dijangka meningkat tahun ini kerana seba­nyak 15,000 hektar kelapa sawit yang ditanam semula pada 2013, kini sudah mengeluarkan hasil.

Selain itu, katanya, FGV turut mendapat sumber buah kelapa sawit daripada penduduk sekitar termasuk yang tinggal sejauh 100 kilometer dari kilang untuk dibeli dan diproses bagi meningkatkan pengeluaran.

Mengenai operasi syarikat itu di Sarawak, beliau berkata, FGV setakat ini hanya mempunyai dua kawasan ladang dan kilang di negeri ini iaitu seluas kira-kira 7,000 hektar di Sempadi di sini, manakala 12,000 hektar lagi di Miri.

“FGV belum bercadang untuk membuka ladang baharu di kawasan lain di Sarawak tetapi tidak menolak berbuat demikian jika ada pihak yang menawarkan tanah untuk dijual bagi meluaskan lagi kawasan tanaman,” ujarnya.